KUALA LUMPUR: Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 yang bermula di ibu negara semalam, meletakkan Kuala Lumpur sebagai pusat perlindungan sosial.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata WSSF bukan hanya bertumpu kepada perkembangan tempatan tetapi mencakupi ruang landskap antarabangsa tanpa sempadan.
Beliau mengalu-alukan delegasi Pertubuhan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) dan peserta ke forum berkenaan, dalam keadaan Malaysia melakar kejayaan bersejarah dan kemajuan membabitkan aspek perlindungan sosial.
“Kita bergerak lebih pantas, berusaha bukan sahaja untuk setiap pekerja di Malaysia tetapi juga memberi perlindungan lebih menyeluruh.
“Kita menghargai pertukaran ilmu, panduan dan pandangan daripada persaudaraan global ISSA. Saya yakin perbincangan sepanjang forum ini akan menyumbang kepada kemajuan perlindungan sosial di seluruh dunia.
“Sepanjang berada di sini, nikmati kehangatan persahabatan rakyat Malaysia, kepelbagaian juadah dan keindahan bumi kami. Semoga pengalaman anda di sini bukan sahaja bermakna, tetapi juga penuh kenangan indah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama WSSF 2025 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.
Forum berkenaan dianjurkan oleh ISSA dengan kerjasama PERKESO dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), disokong Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Sim berkata, Kementerian Sumber Manusia menetapkan misi jelas berasaskan empat tonggak meliputi kebajikan pekerja, kemahiran pekerja, keberhasilan pekerja dan karamah insaniah merujuk maruah insan.
“Malaysia kian melangkah jauh. Lebih 10 juta pekerja dilindungi di bawah skim bencana pekerjaan dan ilat PERKESO, peningkatan besar 63 peratus berbanding 10 tahun lalu.
“Sejuta lagi yang bekerja sendiri mendapat perlindungan daripada kecederaan pekerjaan. Kita bukan sekadar melindungi tetapi memberi pekerja perlindungan lebih baik,” katanya.-BH Online