Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, mengulangi pendiriannya tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku rasuah tanpa mengira siapa yang dikaitkan dengan jenayah berkenaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika ada dakwaan berhubung perkara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti mengambil tindakan untuk menyiasat.

Katanya, ia adalah tugas SPRM tanpa membabitkan campur tangan mana-mana pihak termasuk dirinya, tidak kira sama ada individu yang disiasat diambil tindakan atau tidak.

“Kalau ada bukti rasuah SPRM mesti ambil tindakan, kamu Tan Sri kah, kamu menterikah, di Semenanjungkah atau di Sabah, kamu ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), kalau ada kes, SPRM masuk (siasat), kalau salah hukum penjara.

“Tapi ada orang kata ini ada orang yang tak masuk. Ini bukan kerja saya, saya bukan siasat, saya bukan hakim, kita kena ikut peraturan, walaupun orang ini tak masuk, dia dah siasat. 

“Kalau ada (campur tangan) itu namanya diktator,” katanya pada Himpunan Tamu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi PKR di Dewan Pisompuruan Kampung Kobuni, di sini, hari ini.

Beliau yang tiba pada kira-kira jam 3.30 petang, diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua PKR Sabah yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua PKR Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Datuk Peto Galim bersama barisan kepemimpin PKR Sabah yang lain.

Dalam ucapannya, Anwar turut mengulas dakwaan rasuah membabitkan seorang pemimpin di Sabah baru-baru ini yang katanya turut disiasat SPRM.

“Ada berita seorang pemimpin Sabah baru-baru ini, ada berita baharu, terus SPRM jawab kita akan siasat. Ini cara kita,” katanya tanpa menyebut pemimpin yang dimaksudkan.

Sebelum ini, sebuah portal berita mendedahkan video perbualan seorang ahli perniagaan dengan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey berhubung dakwaan wujud unsur rasuah dalam isu permohonan lesen cari gali mineral.

Dr Jeffery disahkan sudah dipanggil SPRM dipercayai untuk memberi keterangan berhubung video berkenaan, semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Politik Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu, Anuar Ghani, menyatakan Jeffrey memberi keterangan lebih lima jam kepada SPRM, bermula jam 5.30 petang hingga 11 malam tadi.

Sementara itu, Anwar berkata hasil ketegasan SPRM menyiasat dan mengambil tindakan terhadap gejala rasuah, berbilion ringgit wang berjaya dikutip semula sehingga kini.

“Berbilion ringgit wang yang dicuri dari rakyat, kita dapat ambil semula, kita cari jalan ambil balik, sebab itu saya beritahu, dulu saya ditangkap, kena pukul dan dipenjara, tapi sekarang saya sudah jadi Perdana Menteri, saya maafkan.

“Saya dimalu, ditelanjangkan oklah saya maafkan, tapi ambil wang rakyat saya tak ada kuasa maafkan, saya nak rampas balik wang itu bagi balik kepada rakyat. Ia bukan wang saya, ia adalah wang rakyat, wang negara,” katanya.-BH Online