Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kelancaran pelaksanaan program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dengan keupayaan sistem baharu yang mampu memproses sehingga 30,000 transaksi seminit.

Perdana Menteri berkata, peningkatan kapasiti itu dibuat selepas kerajaan mengambil iktibar daripada masalah teknikal yang berlaku ketika pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebelum ini.

“Ketika SARA dilaksanakan, kapasiti sistem hanya mampu proses 3,000 transaksi seminit kerana ia dirancang untuk kumpulan lebih kecil.

“Tetapi untuk BUDI95, server (pelayan) ditingkatkan sehingga 10 kali ganda, iaitu 30,000 transaksi seminit. Ini membolehkan permohonan dan rayuan orang ramai diproses dengan lebih cepat dan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican. 

Isnin lalu, Perdana Menteri mengumumkan harga petrol RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter hanya untuk warganegara, berkuat kuasa 30 Sept ini melalui penyasaran subsidi di bawah BUDI95. 

Semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95 dan berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta orang layak menerima subsidi itu. null

Dalam pada itu, Anwar berkata, penyasaran subsidi petrol RON95 melalui BUDI95 dilaksanakan bagi memastikan hanya rakyat tempatan menerima manfaat, sekali gus mengelak ketirisan kepada warga asing yang turut menikmati harga subsidi sebelum ini. 

Kerajaan membuat ketetapan jelas supaya pelaksanaan subsidi bersasar benar-benar memanfaatkan warganegara Malaysia sahaja. 

“Bila kita turunkan harga untuk warganegara, kita perlu tentukan siapa warganegara. Kalau tidak, orang lain dapat. Warga asing bukan rakyat kita, tidak bayar cukai seperti kita. Jadi mereka tidak layak harga subsidi. 

“Warga asing di Malaysia maksudnya orang luar yang tinggal di sini dan daftar kenderaan Malaysia. Mereka masih dapat harga relatif murah (RM2.60) tapi bukan harga subsidi penuh. Kalau kenderaan (nombor plat) luar, mereka bayar harga RON97,” katanya. 

Selain itu, Perdana Menteri meminta rakyat supaya tidak tergesa-gesa membuat pembelian RON95 pada harga subsidi mulai Selasa ini kerana harga terbabit adalah kekal.

Melalui BUDI95, semua rakyat Malaysia layak menikmati harga bersubsidi sehingga 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing diberi kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan.

Dengan pemansuhan subsidi pukal, Kerajaan MADANI mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.

Penjimatan itu akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).-BH Online