Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BALIK PULAU: Sistem MyKad sudah diguna pakai dalam pelbagai program bantuan kerajaan dan ia terbukti selamat serta berkesan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, sekali gus mengesahkan sistem itu akan menjadi alat pengenalan utama bagi rakyat Malaysia untuk mengakses subsidi petrol RON95, meskipun ada beberapa kebimbangan berhubung aspek keselamatan.

“Kita sudah menggunakan MyKad untuk pengagihan bantuan, contohnya sistem Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merangkumi lebih sembilan juta individu dengan menggunakan MyKad mereka. Kita tidak menghadapi sebarang masalah dengannya.

“(Jadi) tidak perlu membangunkan kad atau sistem baharu kerana infrastruktur sedia ada sudah mencukupi untuk menyokong pelaksanaan subsidi yang bermula pada 30 September ini,” katanya kepada selepas lawatan kerja ke Pulau Betong di sini sebagai sebahagian daripada inisiatif Kampung Angkat Madani.

Sebelum ini bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua memberi amaran kepada kerajaan agar tidak menjadikan MyKad sebagai kaedah utama untuk menuntut subsidi petrol RON95, dengan menegaskan pendekatan itu boleh mendedahkan orang ramai kepada risiko keselamatan dan kewangan.

Sebagai penyelesaian, Pua mencadangkan kerajaan menghidupkan semula skim seumpama rancangan Pakatan Harapan sebelum ini yang mahu memperkenalkan ‘Kad 95’ khusus untuk subsidi bahan api dan bukannya menghubungkannya dengan MyKad.

Menjawab kebimbangan itu, Amir Hamzah memberi jaminan sistem teknologi maklumat kerajaan mematuhi protokol keselamatan yang ketat di bawah peraturan semasa.

Beliau berkata rakyat Malaysia sudah memahami kepentingan menjaga MyKad mereka kerana ia dihubungkan dengan pelbagai perkhidmatan penting.

“Orang ramai menjaga MyKad mereka dengan baik kerana mereka tahu ia berkait dengan banyak perkara.

“Kita menggunakan proses sedia ada kerajaan untuk memastikan keselamatan sentiasa terpelihara,” katanya.

Tambah Amir Hamzah lagi, penggunaan MyKad turut memperkukuh identiti dan kebanggaan nasional.

“Apabila seseorang memegang MyKad, mereka seharusnya berasa bangga. MyKad itu adalah kunci untuk mengakses faedah seperti subsidi RON95.

“Jika mereka tidak memilikinya, maka mereka tidak layak,” tambahnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata awal hari ini bahawa harga bahan api RON95 akan ditetapkan pada RM1.99 seliter untuk semua rakyat Malaysia bermula 30 September.

Anggota polis dan tentera akan menikmati kadar baharu itu bermula 27 September, manakala penerima STR boleh mengakses bahan api lebih murah itu mulai 28 September.

Inisiatif subsidi bahan api, Budi Madani RON95 (BUDI95), akan menurunkan harga bahan api bagi rakyat Malaysia daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter.-BH Online