Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SERI MENANTI, 21 September – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi program Kampung Angkat MADANI memperingati warisan dan nilai-nilai lama melalui program adat dan tradisi, Adat Berkodin dan Adat Menerang Buapak di Kampung Sungai Layang di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, Program Adat dan Tradisi Kampung Angkat MADANI JPA 2025 merupakan pendekatan holistik yang menghubungkan perkhidmatan awam dengan rakyat di peringkat kampung selain turut membawa pembangunan fizikal.

Inisiatif MADANI itu menjadi platform buat pegawai awam yang terlibat sebagai penghubung masyarakat dan pembuat dasar.

“Kita harus melihat perkhidmatan awam sebagai satu institusi yang boleh bergerak ke mana sahaja dan melaksanakan apa jua perkara, asalkan memberi manfaat kepada masyarakat. Penjawat awam juga perlu mempunyai pengetahuan di luar bidang tugas mereka, kerana hal ini mampu membuka ruang yang lebih luas ketika membuat keputusan.

“Perkara seperti ini perlu kita teruskan kerana ia memberi input baharu kepada perkhidmatan awam. Tugas mereka bukan hanya tertumpu di pejabat, tetapi turut merangkumi pengetahuan berkaitan adat dan istiadat yang dapat memperkukuh peranan mereka dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Adat dan Tradisi Kampung Angkat Madani JPA 2025 di Kampung Layang, di sini.

Adat Menerang Buapak dan Adat Berkodin menjadi simbol amanah kepimpinan, penerimaan persaudaraan dan semangat muafakat.

Ia merupakan mekanisme sosial yang menegaskan bahawa setiap anggota komuniti adalah sebahagian daripada keluarga besar yang saling bertanggungjawab menjaga maruah serta kesejahteraan bersama.

Adat Berkodin menzahirkan penerimaan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga suku dengan ikrar taat setia melalui upacara tertentu.

Sementara Adat Menerang Buapak memperlihatkan peranan pemimpin suku sebagai penjaga adat, pembimbing dan pendamai masyarakat.

Nilai yang lahir daripada warisan itu iaitu persaudaraan, rasa hormat dan semangat kebersamaan bukan sahaja mencerminkan kekuatan masyarakat adat, malah selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.-Berita RTM