Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) menjalin kerjasama strategik dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membentuk Rakan NADMA@Sahabat YPM yang memperkasa badan sukarelawanan itu bagi menghadapi bencana di peringkat komuniti.

Inisiatif dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu sejajar dengan keperluan kesiapsiagaan menghadapi bencana di peringkat komuniti seluruh negara.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata YPM bukan saja berperanan dalam bidang pendidikan, malah menjadi barisan hadapan ketika bencana.

“Melalui inisiatif ini, Sahabat YPM akan diperkasa sebagai sukarelawan kesiapsiagaan bencana di peringkat komuniti.

“Rangkaian sukarelawan YPM ini bukan saja berperanan dalam bidang pendidikan, malah turut menjadi barisan hadapan sokongan komuniti ketika berlakunya bencana alam atau kecemasan,” katanya pada majlis perasmian Kursus ‘Train of Trainers’ (ToT) Khas Sahabat dan Sektetariat YPM serta Pelancaran Inisiatif Rakan NADMA@Sahabat YPM, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata sejajar dengan komitmen itu, kerjasama turut diperluaskan dengan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), termasuk GiatMARA.

Katanya, GiatMARA juga berganding bahu menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir melalui kolaborasi bersama NADMA.

“Sinergi ini melambangkan pendekatan holistik kerajaan dalam mengintegrasikan pendidikan, kesiapsiagaan bencana dan sokongan komuniti di seluruh negara.

“Saya percaya, majlis pada hari ini turut mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan pendidikan dan pembangunan modal insan yang lebih inklusif, holistik serta menyumbang kepada aspirasi Malaysia sebagai negara maju berteraskan ilmu dan kepakaran teknikal,” katanya.

Sementara itu, katanya Kursus ‘Train of Trainers’ (ToT) Khas Sahabat dan Sekretariat YPM peringkat Negeri Sabah dan Parlimen Labuan menghimpunkan lebih 500 orang Sahabat dan Sekretariat YPM dari Sabah dan Labuan.

Katanya, Sahabat dan Sekretariat YPM berperanan menggerakkan pelbagai inisiatif pendidikan di bawah KKDW, MARA dan YPM di peringkat komuniti.

“Saya melihat Inisiatif ToT ini bukan sahaja memperkukuh kapasiti sukarelawan tetapi juga menjadikan mereka sebagai ‘pembimbing akar umbi’ yang boleh mendekati pelajar di kampung, di pulau dan di pedalaman. 

“Kita akan terus memperkukuh program motivasi, bimbingan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta ‘outreach’ Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) di seluruh pelusuk Sabah.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa Sahabat dan Sekretariat YPM di Sabah perlu tampil sebagai ‘role model’ kepada belia setempat. Jadilah ejen perubahan yang mampu menginspirasi, membimbing dan menunjukkan jalan yang betul kepada anak-anak muda kita,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, hanya dengan cara itu dapat membina Sabah yang lebih maju, sejahtera dan seimbang dari sudut pembangunan sosial dan budaya.

Katanya, inisiatif itu juga mempunyai objektif pelaksanaan yang jelas dengan memberi latihan kepada Sekretariat dan Sahabat YPM mengenai modul khas yang disediakan Bahagian Latihan dan Kepimpinan dengan seragam dan efektif.

Selain itu, katanya ia juga memperkenal program TVET di bawah ekosistem KKDW dan MARA, melahirkan pelapis fasilitator daripada kalangan sekretariat dan sahabat dan memberi pengiktirafan kepada sekretariat dan Sahabat YPM sebagai fasilitator bertauliah YPM.-BH Online