Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memposisikan halal sebagai model ekonomi sejagat dan menjadikannya sebahagian daripada perbincangan dua hala antara pemimpin, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, berkata ketika ini pemacu pertumbuhan industri halal adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kita mempunyai hampir 10,000 syarikat yang mana lebih 80 peratus membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sudah diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berdasarkan pematuhan mereka terhadap standard halal yang menyeluruh.

“Oleh itu, kerajaan MADANI akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh peranan dan kedudukan mereka dalam pasaran global,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menerusi pemerkasaan industri halal, Anwar berkata, Malaysia mencipta kejayaan tersendiri apabila berjaya menembusi sistem perdagangan dan kewangan antarabangsa meskipun industri itu bukanlah agenda utama Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) atau Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Tegasnya, kejayaan itu hasil kesanggupan negara mengatasi pelbagai halangan awal dan prasangka terhadap konsep halal yang dahulunya dianggap eksklusif kepada Islam.

“Suatu hal yang perlu difahami oleh kita, keupayaan kita menembusi sistem perdagangan dan kewangan antarabangsa. Kita biasa dengan Bank Dunia, IMF, WTO, ini (halal) bukan keutamaan mereka, bukan gagasan mereka.

“Tetapi kerana kesanggupan kita memecah tembok halangan awal dan prasangka terhadap apa yang dianggap Islam, apalagi halal, maka sekarang kita telah meletakkan industri halal sebagai suatu yang berpotensi besar dalam perdagangan yang merentas semua negara,” katanya.

Anwar menegaskan, pengiktirafan dunia membolehkan Malaysia muncul sebagai hab halal global dengan sumbangan industri berkenaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencecah RM231 bilion menjelang 2030 dengan nilai eksport disasarkan sebanyak RM80 bilion.

Beliau berkata, permintaan kukuh terhadap produk halal bukan hanya datang daripada negara Islam, malah meluas ke China, United Kingdom (UK), Brazil dan pelbagai pasaran lain.

“Halal kini bukan sahaja soal fiqh makanan, tetapi merangkumi kebersihan, integriti, akauntabiliti dan penjagaan alam sekitar. Ini menjadikannya relevan merentas agama dan budaya,” katanya.

Bagi memperkukuh daya saing global, katanya, Malaysia memperkenalkan Madani Digital Trade Platform (MDT) berasaskan kecerdasan buatan (AI) pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di GHaS 2025 bagi memacu padanan perniagaan rentas sempadan.

Anwar turut menekankan kepentingan melahirkan lebih ramai tenaga profesional halal dalam bidang sains makanan, teknologi, kejuruteraan dan undang-undang bagi memenuhi keperluan pasaran global.

Dalam ucapannya, beliau turut menghargai peranan pemimpin terdahulu, termasuk bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pencetus visi industri halal negara yang pada masa ini konsisten diperkasakan melalui usaha diterajui Ahmad Zahid.

Sementara itu, katanya, setakat ini, hampir 10,000 syarikat, termasuk lebih 80 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang kini dipercepatkan kepada dua minggu berbanding enam bulan sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia turut bekerjasama dengan lebih 80 badan pensijilan halal di 45 negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penanda aras standard halal dunia.

Bagi memperkukuh daya saing global, kerajaan akan memperkenalkan Madani Digital Trade Platform (MDT) berasaskan kecerdasan buatan (AI) pada MIHAS 2025 bagi memacu padanan perniagaan rentas sempadan.-BH Online