Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke Sabah esok bagi meninjau situasi banjir di negeri itu yang dilaporkan bertambah buruk.

“Saya akan ke sana esok,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai situasi bencana di Sabah.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA GA) di sini, hari ini.

Situasi banjir di Sabah, sehingga pagi tadi dilaporkan bertambah buruk dengan peningkatan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Jumlah mangsa meningkat kepada 3,134 orang daripada 916 keluarga, berbanding 2,919 orang daripada 814 keluarga petang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan semua mangsa ditempatkan di 27 PPS membabitkan enam daerah iaitu Beaufort, Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan berlaku ribut petir di beberapa tempat pada sebelah pagi dan petang di Sabah, manakala pada sebelah malam, ribut petir dijangka melanda beberapa tempat di pedalaman.-BH Online