KUALA LUMPUR, 17 September – Malaysia komited memperkukuh ekosistem digital negara dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, keselamatan siber, pengurusan data dan pembinaan bakat.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, negara perlu mengambil langkah proaktif dalam menghadapi perkembangan teknologi pantas, khususnya kecerdasan buatan (AI), agar tidak ketinggalan dalam arus transformasi global.
“Tujuan kita jelas, bukan sahaja melihat kepada teknologi baharu, tetapi juga bagaimana ia membawa perubahan kepada industri, rakyat dan kerajaan. Justeru, kita mesti bersedia dengan infrastruktur, keselamatan, bakat serta mekanisme kepercayaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Malaysia Digital Xceleration (MDX Summit 2025) dan SmartGov Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Acara tiga hari anjuran Kementerian Digital bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) itu menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan dan pemimpin digital serantau.
Gobind berkata, dalam tempoh 18 bulan lalu, kerajaan memberi tumpuan kepada pelaburan pusat data bagi menjana kuasa pengkomputeran serta memperkukuh pengurusan data dengan menekankan aspek keselamatan, privasi dan perkongsian.
Langkah itu selaras dengan agenda AI Nation 2030 yang diumumkan Perdana Menteri, dengan sasaran sumbangan ekonomi digital kepada KDNK meningkat daripada 25.5 peratus tahun ini kepada 30 peratus pada 2030.
Beliau turut menegaskan keselamatan siber kekal sebagai keutamaan melalui pelaksanaan Akta Keselamatan Siber, Akta Perlindungan Data Peribadi dan rangka kerja perkongsian data.
“Banyak industri sudah mula menggunakan penyelesaian AI. Dengan ekosistem yang sedang dibangunkan ini, kita yakin penerimaan teknologi akan lebih cepat dan memberi impak nyata kepada rakyat,” jelasnya.
Dalam konteks Belanjawan 2026, Gobind berkata keutamaan kementerian adalah memperkukuh institusi penting seperti GovTech dan Suruhanjaya Data, selain memastikan akses teknologi yang adil serta pembangunan bakat digital di semua peringkat.
Beliau menambah, semua geran AI melalui MDEC akan dipantau dengan teliti bagi memastikan ia mencapai sasaran sebenar serta memberi manfaat kepada ekosistem digital negara.-BH Online