Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memuktamadkan kerangka insentif percukaian baharu untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, kerangka itu memfokuskan kepada keberhasilan dalam menilai sebarang pemberian insentif percukaian.

“Pendekatan ini bagi memastikan insentif cukai yang diberikan kepada syarikat adalah bersasar, fleksibel serta relevan dengan perubahan ekonomi dan landskap perniagaan.

“Setiap cadangan pelaburan akan dinilai melalui Kad Skor Aspirasi Pelaburan Nasional yang mengukur kualiti pelaburan termasuk limpahan ekonomi dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada pertanyaan Senator Datuk Seri Vell Paari Samy Vellu yang membangkitkan tentang insentif cukai dalam pengekalan tenaga mahir.

Sementara itu Amir Hamzah berkata, kerajaan komited memperkukuh kedudukan fiskal negara dengan mengurangkan pinjaman baharu, menurunkan defisit serta memperluas hasil melalui langkah percukaian yang lebih bersasar.

Menurutnya, pinjaman baharu kerajaan menyusut kepada RM76.8 bilion pada 2024 berbanding RM99.4 bilion pada 2022, manakala defisit dijangka turun ke paras tiga peratus dalam tempoh sederhana.

Beliau berkata, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), termasuk ke atas barangan premium dan perkhidmatan kewangan, serta pelaksanaan e-Invois dan teknologi pengimbasan pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) turut menambah baik kutipan hasil negara serta meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam.

Mengenai prospek ekonomi, beliau berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang antara 4.0 dan 4.8 peratus pada 2025, dengan purata pertumbuhan 4.5 hingga 5.5 peratus setahun sepanjang RMK13, disokong pelaburan awam bernilai RM611 bilion dalam sektor berimpak tinggi.

“RMK13 menuntut disiplin tinggi dalam pengurusan fiskal.

“Ia merupakan amanah yang perlu dipikul bersama demi memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan,” kata Amir Hamzah.-BERNAMA