Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUSAN, 28 Ogos – Malaysia memberi tumpuan kepada pemodenan sistem grid tenaga bagi menyokong peralihan kepada elektrifikasi dan penggunaan tenaga boleh baharu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengukuhan grid tenaga penting bagi memastikan tenaga boleh baharu berskala besar dapat disalurkan dengan selamat dan berkesan.

Menurutnya, Malaysia juga memperkukuh kerjasama serantau melalui Grid Kuasa ASEAN di samping melabur dalam teknologi baharu seperti sistem storan tenaga, pendigitalan grid dan pemeteran pintar.

“Sistem storan tenaga, rangkaian pintar dan kabel kuasa dasar laut kini bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan. Malaysia sudah memulakan projek perintis storan bateri bagi menstabilkan grid apabila penggunaan tenaga boleh baharu semakin meningkat.

“Kita turut melabur dalam pendigitalan grid, pemeteran pintar dan pengurusan permintaan untuk meningkatkan kecekapan serta fleksibiliti sistem. Usaha ini akan memastikan grid negara bukan sahaja lebih kukuh, malah lebih pintar,” katanya semasa berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga APEC ke-15 (APEC EMM15) di Busan, Korea Selatan.

Datuk Seri Fadillah menegaskan keselamatan grid tenaga hanya dapat dicapai melalui pelaburan, inovasi dan integrasi dengan kerjasama erat negara anggota APEC.-Berita RTM