KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, terdapat dua syarikat/pembida yang dianugerahkan tender perolehan dengan nilai keseluruhan melebihi RM500 juta oleh kementerian itu bagi 2023, 2024 dan setakat 30 Jun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan kedua-dua kaedah perolehan itu dilaksanakan secara tender terbuka dan keputusannya adalah selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia P.K 2.1 perenggan 19.6, iaitu tender dibentang di Lembaga Perolehan KDN untuk diputuskan dan keputusan muktamad di peringkat Kementerian Kewangan.
Saifuddin berkata, syarikat Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd dianugerahkan Kontrak Perolehan Empat Helikopter Medium Lift Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 2024, dengan tempoh kontrak selama lima lima tahun, berkuat kuasa 19 Januari 2024 hingga 18 Januari 2029, yang bernilai RM529.66 juta.
“Selain itu, syarikat HeiTech Padu Berhad dianugerahkan Kontrak Perolehan Perkhidmatan Mengkaji, Mencadang, Mereka Bentuk, Membangun, Membekal, Menghantar, Memasang, Menguji, Mengintegrasi, Memigrasi dan Menginkronisasi Data, Mentauliah Serta Melaksana Pengurusan Perubahan dan Latihan Bagi Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) untuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 2024. “Tempoh kontrak itu selama lima tahun, berkuatkuasa 18 Oktober 2024 hingga 17 Oktober 2029, yang bernilai RM 892.199 juta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan) mengenai senarai semua syarikat/pembida yang dianugerahkan tender perolehan yang nilai keseluruhannya melebihi RM500 juta (beserta penerangan mengenai butiran setiap tender) oleh KDN bagi 2023, 2024 dan setakat 30 Jun 2025.-BH Online