Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kemalangan membabitkan pesawat tempur F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), malam tadi.

Menerusi hantaran di laman X hari ini, Perdana Menteri juga meminta pihak berkuasa memastikan langkah keselamatan yang sewajarnya diambil.

Anwar turut menyatakan simpati terhadap juruterbangdan pembantu juruterbang TUDM yang terlibat dalam insiden itu.

“Saya mendoakan kedua-dua anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan,” katanya.

Dua anggota TUDM yang terbabit dalam insiden di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) pada jam 9.05 malam tadi, dilaporkan selamat dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk pemeriksaan lanjut. – BERNAMA