KUANTAN: Dua juruterbang yang terbabit dalam kemalangan pesawat di Pangkalan Udara Kuantan, di sini, malam tadi, disahkan selamat.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat kemalangan berlaku ketika pesawat F/A-18D Hornet itu hendak melakukan penerbangan.
“Pihak polis sedang menunggu laporan hasil pemeriksaan dilakukan oleh pasukan perubatan HTAA.
“Tetapi setakat ini, disahkan kedua-dua juruterbang terbabit selamat,” katanya ketika dihubungi.
Yahaya berkata, lokasi nahas adalah di landasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah dan tidak membabitkan penempatan awam.
Terdahulu, Bahagian Perhubungan Awam TUDM menerusi kenyataan media, memaklumkan kemalangan itu berlaku jam 9:05 malam tadi.
TUDM turut mengesahkan pesawat terbabit nahas itu ialah jet pejuang F/A-18D Hornet.-BH Online