Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Golongan asnaf perlu mempunyai sifat amanah dalam mendapat bantuan zakat supaya hanya yang benar-benar layak sahaja mendapat bantuan yang sewajarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata jika seseorang individu itu layak dan mengikut kriteria ditetapkan, bantuan akan diberikan secara berterusan mengikut keperluan.

Namun katanya, jika asnaf berkenaan sudah mampu bekerja atau sudah mempunyai pendapatan yang tidak melayakkan dia mendapat bantuan lagi, sudah menjadi kewajipannya untuk memaklumkan kepada pihak seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Asnaf perlu ada sifat adil dan jika dia tarik diri (berhenti mendapat bantuan), asnaf lain akan dapat pula bantuan kerana jumlah (bantuan) yang diberikan adalah terhad.

“Asnaf perlu ada sifat amanah dan kalau dia rasa tidak layak kena maklumkan dan saya tekankan banyak kali seperti falsafah MAIWP adalah untuk melahirkan golongan asnaf yang keluar dari kepompong kemiskinan dengan menjadi usahawan atau mempunyai pendapatan lumayan hingga boleh menjadi golongan yang mengeluarkan zakat dan bantu orang lain pula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ziarah Asnaf di tiga rumah asnaf di Kampung Petaling Bahagia di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Na’im mengunjungi Pusat Agihan Zakat (PAZA) MAIWP Cawangan Seputeh. Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Berkenaan PAZA Cawangan Seputeh, Mohd Na’im berkata, pembukaan PAZA cawangan ke-sembilan itu membolehkan penduduk sekitar kawasan berkenaan mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan.

Katanya, sebelum ini penduduk perlu ke ibu pejabat untuk mendapatkan sebarang perkhidmatan terutama bantuan zakat dan ia sudah pasti membebankan kerana jauh.

“Jadi penduduk di Parlimen Seputeh jika ada sebarang urusan terutama berkenaan bantuan zakat, boleh ke PAZA di sini sahaja kerana ia lebih dekat dan memudahkan,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan Program Ziarah Asnaf, Wan Mohd Elham Faiz Wan Mat, 36, berkata dia sudah mendapat bantuan zakat perubatan sejak tahun 2013 lagi bagi membiayai rawatan hemodialisis buah pinggang yang dihidapinya sejak kira-kira 12 tahun lalu.

Kakitangan Air Selangor itu berkata, bantuan sedemikian amat mengurangkan bebannya kerana kos rawatan sebulan dianggarkan lebih RM3,000.

“Saya bersyukur dengan bantuan zakat perubatan ini kerana jika tiada, dengan pendapatan kira-kira RM2,500 sebulan, kos rawatan itu sudah pasti membebankan saya,” kata bapa kepada seorang anak perempuan berusia 12 tahun itu.-BH Online