KUALA LUMPUR: Kerjasama lima universiti awam dengan Majlis AIDS Malaysia (MAM) mengenal pasti dan membantu mahasiswa dijangkiti HIV/AIDS adalah pendekatan menyeluruh yang boleh mengurangkan stigma masyarakat.
Menyifatkannya sebagai pendekatan menyeluruh, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata langkah itu turut memberi perhatian kepada aspek pendidikan, kesedaran dan kaunseling.
“Langkah proaktif kedua-dua pihak itu penting dalam mendekati golongan muda khususnya mahasiswa yang terdedah kepada risiko HIV/AIDS.
“Saya menyambut baik inisiatif kerjasama antara universiti awam dan MAM mendekati golongan muda khususnya mahasiswa.
“Dengan cara ini, kita dapat memastikan mereka yang dijangkiti tidak terpinggir, sebaliknya dibantu untuk meneruskan kehidupan dan pembelajaran dengan sokongan sosial tanpa stigma atau diskriminasi,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Pendermaan Organ dan Tisu (MKPO) peringkat kebangsaan 2025, bertemakan ‘Derma Organ: Warisku, Hormati Ikrarku’.
Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab.
Lima universiti awam iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dilapor menjalin kerjasama dengan MAM untuk mengenal pasti dan membantu mahasiswa yang dijangkiti HIV/AIDS.
Naib Presiden MAM, Dr Nurafiqah Mohd Salleh, dilaporkan berkata, kerjasama menerusi Kelab Kesihatan Anak Muda IPTA (KAMI) itu adalah usaha terkini pihaknya untuk mengenal pasti dan membantu mahasiswa dijangkiti HIV/AIDS.
Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly menggalakkan orang ramai berikrar menderma organ manakala waris perlu menghormati keputusan itu selepas penderma meninggal dunia.
“Bilangan penderma organ di negara ini masih rendah berbanding negara berpenduduk majoriti Islam lain seperti Arab Saudi, Turkiye dan Iran.
“Kempen kesedaran ini diharap dapat merentas budaya dan agama supaya bilangan penderma dipertingkatkan.
“Ketika ini, kira-kira 10,800 pesakit menunggu untuk pendermaan organ setakat Julai lalu, peningkatan 5.4 peratus berbanding 2024,” katanya.-BH Online