LARUT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bantuan disalurkan Kerajaan MADANI tidak mengira latar belakang politik, dengan negeri yang tidak ditadbir gabungan kerjasama itu tidak akan sesekali dilupakan.
Memberi contoh Kelantan dan Kedah, Perdana Menteri berkata peruntukan pembangunan diluluskan untuk kedua-dua negeri itu mencecah bilion ringgit.
Di Kedah, katanya bantuan RM1 bilion disalurkan buat pesawah, manakala peruntukan pembangunan lebih RM4 bilion pula diberikan kepada Kelantan khususnya dalam usaha mengurangkan kejadian banjir dan pemuliharaan pantai.
“Kelantan kita bagi lebih bukan kerana saya pilih, tetapi sebab Kelantan ada masalah besar dengan banjir yang dengan itu kita peruntukkan berbilion ringgit.
“Selain itu, hasil tanaman padinya adalah paling rendah di negara ini, menjadikan kita kena bantu dari segi prasarana atau infrastruktur.
“Bulan lalu saya ‘check’ (meninjau) beberapa projek di Kedah yang ditadbir bukan parti kerajaan dan ada RM1 bilion diperuntukkan untuk tolong pesawah, walaupun kebanyakan pesawah itu merupakan penyokong pembangkang.
“Tapi saya kata saya sebagai Perdana Menteri kena tolong orang… saya nak bagi mesej kepada rakyat yang apabila jadi ketua (pemimpin), Tuhan bagi amanah ini bukan nak kira kita sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Karnival Usahawan Tenusu MADANI ‘Memacu Revolusi Pertanian Moden, Menjana Ekonomi Rakyat’ di Ladang Tenusu Farm Fresh Pondok Tanjung, Batu Kurau, di sini hari ini.
Tambah Anwar, tiada guna rakyat bergaduh terutamanya yang membabitkan soal perkauman dengan memaki hamun serta menghina kaum atau individu lain termasuk dengan menggunakan isu yang menjadi tumpuan ramai mutakhir ini.
“Jangan hendak bergaduh (fasal) bendera, gaduh (mengenai) seorang budak mati, maka dimaki hamun semua orang, anak VIP, cucu TYT.
“Saya katakan boleh siasat, saya sudah beritahu tak peduli siapa,” katanya.-BH Online