Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyelaraskan usaha dan tindakan bagi memastikan semua pihak faham bahawa buli adalah jenayah susulan pindaan yang dimasukkan melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi.

“Perdana Menteri menyampaikan pandangan yang kita bincangkan dalam Jemaah Menteri pagi tadi, satu pandangan yang sangat tegas bahawa tidak akan dibenarkan sikap buli seperti ini berlarutan.

“Jadi antara perkara yang akan diusahakan dalam kalangan menteri-menteri, dibincang adalah penyelarasan beberapa tindakan memandangkan pindaan kepada Seksyen 507 (Akta Kanun Keseksaan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.-BH Online