KUALA LUMPUR: Cadangan pembangunan bersama di Laut Sulawesi dengan Indonesia masih di peringkat awal dan belum dimuktamadkan, sekali gus tidak menjejaskan tuntutan maritim serta kepentingan Sabah Timur.
Sehubungan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata tiada isu berhubung kebarangkalian cadangan pembangunan bersama memandangkan perkara berkenaan belum dimulakan.
“Dalam membuat sebarang keputusan, kerajaan sentiasa membuat penilaian terperinci, berhati-hati dan menyeluruh berhubung sebarang cadangan penyelesaian termasuklah kerjasama ekonomi dalam mencari keputusan yang saling memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Dalam hubungan ini, pandangan dan pendirian kerajaan Sabah diambil secara serius bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi (BN–Kalabakan) mengenai jaminan strategik kerajaan mengenai perbincangan kerjasama pembangunan bersama di kawasan Laut Sulawesi dengan Indonesia supaya tidak akan menjejaskan tuntutan maritim Malaysia khususnya kepentingan Sabah Timur serta integriti sempadan perairan nasional menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Mohamad berkata, perbincangan berkaitan sempadan maritim adalah berlandaskan kepada prinsip perundangan dan teknikal yang dilakukan secara teliti, cermat dan berhemat.
“Selain itu, dalam menyelesaikan isu persempadanan maritim Malaysia dan Indonesia, Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan Sabah dalam proses rundingan dan perbincangan.
“Wakil Kerajaan Sabah turut dilibatkan di dalam mesyuarat berkaitan serta rundingan teknikal persempadanan maritim di antara Malaysia dan Indonesia.
“Kerajaan terus komited untuk memperhalusi dan mencari kesepakatan mengenai perkara ini melalui rundingan mekanisma sedia ada dan memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara termasuklah kepentingan Sabah akan sentiasa dipertahankan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad menjelaskan, Indonesia merujuk kawasan Ambang Batas Laut atau ‘Ambalat’ yang meliputi sebahagian Laut Sulawesi termasuk Blok ND6 dan ND7.
“Malaysia berpendirian Blok ND6 dan ND7 terletak dalam kawasan kedaulatan negara serta hak kedaulatan Malaysia mengikut undang-undang antarabangsa selaras keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002.
“Oleh itu, rujukan yang tepat selaras pendirian Malaysia adalah Laut Sulawesi dan bukannya ‘Ambalat’,” katanya.
Katanya, perkara itu sudah dijelaskan dalam Sesi Jawab Lisan serta kenyataan akhbar Kementerian Luar pada 5 Ogos lalu.
“Jadi dalam menyelesaikan isu persempadanan maritim, negara-negara penuntut sentiasa memikirkan penyelesaian yang boleh memanfaat kedua-kedua negara,” katanya.-BH Online