KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Eire (UKEC), yang mewakili lebih 16,000 pelajar Malaysia di United Kingdom serta Republik Ireland.
Anwar berkata dalam pertemuan itu, UKEC yang diketuai Vincent Tang mengemukakan cadangan peluang kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi dengan UKEC dalam pelbagai bidang yang ingin diterokai berasaskan dasar sedia ada.
“Saya juga mendapatkan pandangan dan cadangan mengenai bagaimana harus didepani gejala ‘brain drain’ (penghijrahan cendekiawan) yang sekian lama merundung negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan memanfaat serta mengoptimumkan dasar serta struktur sedia ada yang telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi mengelakkan pertindihan struktur atau dasar.
Selain itu, beliau berkata, ia juga bagi memastikan libat urus dan wacana bergerak secara berterusan selain memastikan pelbagai isu dapat diselaraskan dengan berkesan serta sistematik. -– BERNAMA