Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan membuat kenyataan berhubung isu kematian Zara Qairina Mahathir di Parlimen, Isnin ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan mengenai tindakan terhadap anggota polis yang didakwa cuai dalam menjalankan tugas.

“Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sudah mengeluarkan kenyataan jelas bahawa pasukan petugas khas dari Bukit Aman mengambil alih siasatan daripada polis Papar.

“Balai Polis Papar dikatakan menunjukkan elemen ketidakcekapan di pihak pegawai penyiasat.

“Penemuan awal mendapati keputusan untuk tidak melakukan bedah siasat menimbulkan persepsi seolah-olah polis cuba menutup sesuatu.

“Sebab itu pada Isnin ini saya akan buat kenyataan menteri di Parlimen untuk memberi penjelasan kerana ramai Ahli Parlimen membangkitkan isu ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung kerakyatan dan pengurusan warga asing di Sabah di Menara Kinabalu di sini.

Semalam, satu sidang media diadakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkaitan isu kematian pelajar Tingkatan Satu itu. 

Bagaimanapun orang ramai menuntut supaya anggota polis dan pihak berkuasa dipertanggungjawabkan dalam hal berkenaan.

Dalam pada itu, Saifuddin menambah bahawa selain ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), Kumar turut mendedahkan buat kali pertama kewujudan surat kebenaran yang ditandatangani ibu Zara.

“Sebelum ini ia tidak diketahui umum dan kita tidak tahu ada surat kebenaran untuk menghalang bedah siasat dijalankan.

“Tetapi kegagalan pegawai penyiasat meneruskan bedah siasat dikenal pasti sebagai perkara yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya. 

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Mustapha di Papar pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.-BH Online