KUALA LUMPUR: Ringgit yang mencecah paras 4.18 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) merupakan tahap tertinggi dalam tempoh lebih enam minggu, dirangsang oleh jangkaan yang tinggi terhadap kitaran penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS dan prospek makroekonomi Malaysia yang kukuh.
Mata wang tempatan itu mengukuh kepada 4.1865 setakat jam 9.59 pagi selepas dibuka pada paras 4.2045/2160 hari ini berbanding 4.2040/2085 ketika ditutup semalam.
Kali terakhir ringgit diniagakan pada paras tertinggi yang sama ialah pada 1 Julai, apabila ia mencecah 4.1805.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata kedudukan ringgit sekitar paras 4.20 adalah penting dari segi teknikal dan psikologi untuk pasaran.
“Walaupun 4.20 bukanlah paras pusingan teknikal yang ketat dalam erti kata analisis carta, tetapi ia mewakili penanda aras simbolik untuk sentimen pelabur, terutamanya kerana paras terakhir di bawah tahap ini dilihat pada awal Julai.
“Perubahan yang jelas dan kekal di bawah paras 4.20 akan mengukuhkan pendapat bahawa mata wang itu telah memasuki fasa pengukuhan baharu,” katanya kepada Bernama.
Beliau mengaitkan pengukuhan ringgit baru-baru ini dengan keyakinan pasaran bahawa Fed akan melaksanakan sekurang-kurangnya dua kali pemotongan kadar faedah sebelum akhir tahun, dengan pelonggaran selanjutnya berkemungkinan berterusan sehingga 2026.
Ini berikutan gesaan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent agar Fed menurunkan kadar penanda aras sekurang-kurangnya 1.5 mata peratusan, yang mengukuhkan jangkaan pasaran terhadap kitaran pelonggaran yang lebih agresif, katanya.
Mohd Sedek berkata, faktor-faktor luaran itu disokong oleh pemangkin dalaman, khususnya pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang menggariskan hala tuju dasar yang jelas, insentif pelaburan bersasar dan pelan pembangunan sektor tertentu.
Beliau menambah, perkara-perkara itu boleh meningkatkan keyakinan pelabur, meningkatkan aliran masuk modal dan mengukuhkan asas-asas ringgit.
“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang stabil, lebihan akaun semasa yang berdaya tahan dan momentum pelaburan asing yang bertambah baik, terutamanya dalam sektor-sektor bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik, tenaga boleh baharu dan pusat data, menyediakan asas domestik yang kukuh untuk peningkatan mata wang,” katanya.
Seiring dengan pendapat yang sama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan paras semasa ringgit sebagai ‘lebih kepada penanda psikologi’ apabila sentimen semakin positif.
“Kita kini menyaksikan dua ahli yang tidak sependapat dalam Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang menyokong pemotongan kadar pada mesyuarat Julai dan pasaran buruh AS menunjukkan tanda-tanda lemah berdasarkan semakan menurun yang ketara dalam data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS.
“Inflasi agak stabil hingga menyebabkan Perbendaharaan AS mencadangkan pemotongan sebanyak 50 mata asas boleh berlaku pada mesyuarat September. Ini pada dasarnya positif untuk ringgit atau negatif untuk dolar,” katanya.
Melihat ke hadapan, Mohd Sedek mengunjurkan ringgit mengukuh kepada 4.10 menjelang akhir 2025 dan meneruskan aliran menaiknya ke paras 4.05 menjelang akhir suku pertama 2026.
“Sekiranya ringgit kekal di bawah paras 4.20 dalam beberapa minggu akan datang, paras seterusnya yang perlu diperhatikan ialah 4.18 dan 4.15. Pergerakan berterusan di bawah 4.15 akan mengesahkan perubahan struktur ke arah sasaran kami iaitu pada 4.05,” tambahnya.-BERNAMA