Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kejayaan penganjuran Borneo Flora Festival (BFF) 2025 menjadi batu loncatan untuk Labuan mengorak langkah sebagai hab perdagangan, pelancongan, budaya dan kerjasama rentas negara di rantau ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata walaupun berdepan kekangan kapasiti penginapan dan isu keterhubungan udara, laut serta pengangkutan darat, cabaran itu perlu dilihat sebagai peluang untuk menarik pelaburan, memperkasakan usahawan tempatan dan memperkukuh kerjasama awam-swasta.

“Walaupun di sebalik kejayaan yang membanggakan ini, kita tidak boleh tutup mata terhadap isu dan cabaran yang kita hadapi dan kita perlu ambil maklum dengan serius.

“Antaranya adalah mengenai kapasiti penginapan yang masih terhad, sehingga ada pelawat yang terpaksa menempah lebih awal atau mendapatkan penginapan di luar pulau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik BFF 2025 di sini, hari ini.

Dr Zaliha berkata, isu keterhubungan juga mendapat perhatian dari PerdanaMenteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada penerbangan, feri mahupun pengangkutan darat di dalam pulau dan menjadi antara faktor yang mempengaruhi pengalaman pengunjung. 

“Pada skala acara yang lebih besar, keperluan untuk menambahbaikan kekerapan dan kualiti perkhidmatan ini akan menjadi lebih mendesak.

“Namun, saya melihat kedua-dua perkara ini bukan sebagai halangan, sebaliknya ini adalah peluang yang perlu kita rebut, di mana ini membuka ruang untuk kita melibatkan pelabur, memperkasakan usahawan tempatan dan merangka model ‘public-private-partnership’ yang dapat meningkatkan kapasiti penginapan serta memperkukuhkan jaringan pengangkutan,” katanya.

Dr Zaliha berkata, Labuan memiliki potensi melangkaui sempadan pulau dengan kedudukannya di tengah kepulauan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan dengan gabungan populasi melebihi 20 juta orang. 

Jelasnya, pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur membuka peluang besar untuk Labuan muncul sebagai destinasi persinggahan utama, pusat logistik dan hab acara antarabangsa.

Berkongsi kejayaan BFF, beliau berkata festival lima hari yang berlangsung bulan lalu menarik seramai 120,154 pengunjung, melebihi sasaran awal 50,000 orang dengan limpahan ekonomi mencecah RM35 juta.

“Kehadiran pelawat dari Sabah, Sarawak, Semenanjung dan negara luar seperti Brunei, Filipina, Indonesia, Timor Leste, China dan India memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui peningkatan pendapatan, penambahbaikan infrastruktur dan peluang perniagaan baharu. 

“Ada peniaga catat jualan sehingga RM5,000 pada hari pertama dengan sewa tapak hanya RM300,” katanya.-BH Online