Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prestasi Kerajaan Perpaduan di dalam enam pilihan raya negeri adalah positif kerana ia mengekalkan kuasa kestabilan politik.

Menerusi temuramah eksklusif CNBC yang disiarkan hari ini, Anwar berkata Pakatan Harapan dan rakan parti lain berjaya mengekalkan kuasa di tiga negeri yang merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia.

“Yang lebih signifikan adalah hakikat kita masih mempunyai majoriti dua per tiga di parlimen dan tiada apa-apa pertukaran. Ada kestabilan politik di situ,” kata beliau.

Anwar berkata secara lumrah, parti yang menganggotai kerajaan lebih banyak menghadapi kesukaran ketika pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil kerana pembangkang menggunakan isu agama, bangsa dan isu ekonomi untuk menyalahkan kerajaan.

“Saya fikir berdasarkan semua senario negatif, apa yang telah dicapai itu bagus. Sekarang kita lega kerana kita mempunyai empat tahun untuk meneruskan program reformasi dan menghapuskan rasuah yang endemik di negara dan menangani propaganda kaum dan agama yang berterusan.

Beliau juga yakin dengan masa depan dan kebolehan kerajaan pimpinannya kekal berkuasa sehingga tamat penggal berdasarkan sifat kerajaan yang inklusif.

“Tiada petanda berkenaan sebarang perbalahan atau keretakan di dalam pakatan pemerintah, termasuk parti-parti di Sabah dan Sarawak. Jadi dari satu segi, ia unik kerana tidak didominasi oleh sebab tertentu kerana majoriti Muslim, tetapi kita ada perwakilan cukup untuk kumpulan minoriti dari Sabah dan Sarawak.

“Bagi saya ini kritikal untuk masa hadapan negara ini. Dan saya fikir berdasarkan kesemua faktor, ada kestabilan. Ada kejelasan dalam mengisytiharkan dasar ekonomi. Jadi saya fikir garis panduan dasar kita jelas dan kita boleh meneruskan dengan yakin,” kata beliau.

Anwar turut menafikan bahawa rakan Pakatan Harapan, Barisan Nasional ialah satu risiko meskipun beliau mengakui ada keretakan dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh pimpinan tertinggi.

“Saya telah melawan UMNO selama berdekad. Anda tidak boleh menafikan fakta mereka masih merupakan parti Melayu nasionalis dominan dengan rekod sejarah yang menakjubkan dalam mencapai kemerdekaan. Namun mereka perlu mengambil langkah dalaman dan mereformasi parti.

“Tetapi kita di sini sebagai satu pasukan dan kita akan buat apa yang patut untuk menguatkannya dari sudut menguatkan agenda reformasi di negara ini.

Beliau turut berkata PRN menyaksikan perubahan dalam demografi pengundi muda Melayu, terutamanya pemuda bandar ke arah nilai Islam yang dibawa PAS dan Bersatu.

“Pelajar universiti telah berubah dan lebih menyokong kita dan agenda kita tetapi kita tidak dapat menembusi kawasan luar bandar. Saya tidak akan menyalahkan mereka tetapi saya rasa ini kekangan kita,” kata beliau.