Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan terus kekal relevan dengan pendekatan digital sebagai medan utama pencegahan dadah di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan perubahan kepada pendekatan baharu amat diperlukan bagi memastikan mesej kesedaran dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada golongan sasaran, khususnya generasi muda.

“Ancaman kita hari ini bukan lagi sekadar ganja atau heroin (malah) ia hadir dalam bentuk dadah sintetik, bahan psikoaktif baharu, pil khayal dan paling membimbangkan adalah pengedaran secara senyap melalui algoritma TikTok, Telegram dan platform media sosial yang lain.

“Selain itu, sasaran sindiket juga berubah. Mereka bukan hanya berurusan dengan remaja liar mahupun gelandangan di lorong gelap tetapi anak-anak kita yang berpakaian sekolah, mahasiswa universiti, bahkan mereka yang profesional berkerjaya turut menjadi mangsa.

“Justeru, PEMADAM tidak wajar kekal terperangkap dalam kaedah lama, sedang musuh sudah berubah wajah dan strategi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Dwi Tahunan PEMADAM Bilangan ke-46 dan ke-47 di Dewan Seri Siantan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh. 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, berdasarkan data AADK, lebih 65 peratus penagih baharu adalah remaja dan belia, manakala kajian menunjukkan golongan usia 19 hingga 39 tahun menyumbang sekitar 68 peratus daripada jumlah keseluruhan penyalahguna dadah.null

“Ini bukan sekadar data, ia adalah panggilan kecemasan bahawa generasi muda sedang terancam.

“Oleh itu, PEMADAM di bawah kepimpinan hari ini mesti mewujudkan ekosistem penyelamat bangsa dengan menggabungkan pelbagai latar belakang, kepakaran dan suara demi satu hasrat dan tujuan (iaitu) untuk menyelamatkan anak bangsa.

“Saya mahu PEMADAM memberi fokus kepada mengurangkan statistik penagihan, bukan menambah statistik aktiviti (dengan) membangun sistem sokongan pemulihan komuniti dan meningkatkan kehadiran digital sebagai medan utama pencegahan,” katanya.

Beliau juga mahu melihat PEMADAM benar-benar proaktif membantu pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), AADK, pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan organisasi penguatkuasa lain untuk bergerak bersama dalam membanteras isu penagihan dadah.

“Selepas membelanjakan lebih RM50 bilion untuk pencegahan, penguatkuasaan dan rawatan berkaitan dadah, Malaysia perlu mengakui bahawa usaha membanteras masalah ini masih gagal.

“Peningkatan konsisten dalam kes penyalahgunaan dadah termasuk dalam kalangan golongan berpendidikan, kemunculan dadah sintetik serta penjualan secara dalam talian yang semakin berleluasa menunjukkan cabaransemakin kompleks.

“Kerajaan sudah membelanjakan lebih RM50 bilion bagi melaksanakan langkah pencegahan, penguatkuasaan dan rawatan dadah, namun jumlah kes terus meningkat.

“Kita perlu mengakui kegagalan ini, dan mencari pendekatan baharu (termasuk digital) untuk terus maju ke hadapan,” katanya.-BH Online