TELUK INTAN: Tiada sebarang masalah atau ketegangan timbul dalam Barisan Nasional (BN) Perak membabitkan MIC negeri hingga memerlukan parti itu keluar gabungan bagi menyertai Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau masih berhubungan baik serta tiada sebarang konflik dengan Pengerusi MIC negeri, Tan Sri M Ramasamy dan pemimpin MIC negeri yang lain.
Katanya, BN Perak membuktikan MIC tidak pernah dipinggirkan walaupun tiada seorang pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak dari MIC.
“Wakil MIC diberikan peranan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri selain sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Mereka sentiasa berhubung dengan saya dan saya seperti saya sebutkan sebelum ini walaupun tiada ADUN dari MIC tetapi ada seorang wakil mereka dalam Lembaga Pengarah, Lembaga Air Perak (LAP).
“Malah, ada 14 orang pemimpin peringkat kawasan MIC yang duduk menjadi ahli majlis bagi Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah. Jadi, setakat ini saya tiada masalah dengan MIC kerana hubungan itu sentiasa baik.
“Itulah bukti (MIC di Perak tidak dipinggirkan) dengan jawatan-jawatan itu. Kalau lepas ini mereka jadi pembangkang, maka tak dapat apa-apa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Karnival Sukan Bendang Komuniti Perak Sejahtera 2030 Peringkat Daerah Hilir Perak 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang, Sungai Manik, di sini hari ini.
Saarani berkata demikian selepas diminta mengulas hubungan MIC dalam BN di Perak, susulan MIC di Kedah dan Pulau Pinang meluluskan usul untuk bekerjasama dengan PN.
Tindakan itu dilihat sebagai tindakan MIC berkemungkinan keluar daripada BN, biarpun keputusan muktamad akan ditentukan oleh kepimpinan pusat parti itu.-BH Online