KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merancang untuk memperkenalkan model baharu bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang tidak lagi berpandukan sistem penggiliran penganjuran mengikut negeri, selepas edisi terakhir sistem sedia ada berakhir di Kelantan pada tahun 2028.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, langkah itu bertujuan memastikan keseragaman jenis sukan yang dipertandingkan, sekali gus mengelak penganjur menggunakan kelebihan selaku tuan rumah untuk menggugurkan atau menambah sukan tertentu bagi meraih pungutan pingat yang lebih mudah.
“Kita sudah bincang modul SUKMA yang berbeza. Selepas Selangor (2026) akan jadi Kelantan dan selepas tamat Kelantan, tamat kitaran di mana semua negeri sudah jadi penganjur.
“Setiap negeri penganjur akan cari sukan yang akan memberikan mereka kelebihan atau pingat. Oleh sebab itu, setiap SUKMA ada sukan yang digugurkan, ada sukan yang dipertandingkan.
“Jadi bermula selepas Kelantan, jawatankuasa sedang mempertimbangkan supaya Putrajaya atau MSN (Majlis Sukan Negara) jadi hos. Tak ada lagi penganjuran oleh negeri supaya kita ada konsistensi.
“Jadi bagi kita ruang kaji, untuk pastikan kesinambungan itu wujud,” katanya selepas majlis pecah tanah ibu pejabat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Cadangan modul baharu SUKMA itu mula menjadi perhatian selepas beberapa jenis sukan seperti silambam, muay thai dan petanque digugurkan daripada senarai acara bagi edisi SUKMA Selangor tahun depan.-BH Online
