KUALA LUMPUR: Budaya samseng dalam sukan atau ‘hooliganisme’ tidak seharusnya dibenarkan bertapak dalam landskap sukan negara, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan, budaya negatif itu bercanggah dengan nilai masyarakat Malaysia yang menekankan aspek toleransi, adab dan kesopanan dalam setiap tindakan.
“Kita tidak boleh bawa masuk budaya hooliganisme dalam sukan seperti yang kita lihat di negara luar melalui TV atau media. Kita perlu ada lebih banyak toleransi. Semua ini bertentangan dengan semangat sebenar sukan iaitu menyatukan rakyat, memahami perbezaan dan menyemai semangat yang mendalam,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah bagi pembinaan Rumah Olimpik iaitu ibu pejabat baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Bandaraya Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil, hari ini.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) merangkap Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Hadir sama, wakil rasmi Majlis Olimpik Antarabangsa, Khunying Patama Leeswadtrakul; wakil rasmi OCA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang OCA, Abraham ‘Bambol’ Tolentino dan Presiden NOC Laos, Prof Madya Dr Phout Simmalavong.
Rumah Olimpik direka bentuk dan dibangunkan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) – pemaju induk Kompleks Sukan Kuala Lumpur – dan bakal dibina di atas tanah seluas 5.38 ekar dengan keluasan lantai kasar berjumlah 140,973 kaki persegi.
Terletak di tengah-tengah ekosistem sukan negara, ibu pejabat baharu ini akan menghimpunkan 58 persatuan sukan kebangsaan di bawah satu bumbung bagi memperkukuh kerjasama dan meningkatkan tadbir urus dalam pengurusan sukan.
Kemudahan yang dibina khusus ini akan menampilkan pelbagai kemudahan moden termasuk auditorium, pusat sumber, gimnasium, muzium, galeri, kafe, surau, dan banyak lagi.
Dalam laporan sebelum ini, Rumah Olimpik ini dijangka siap menjelang penghujung 2028 dengan kos keseluruhan dianggarkan sekitar RM96 hingga RM97 juta.
Dalam pada itu, Anwar secara berseloroh mengingatkan pihak pemaju, MRCB supaya memastikan pembinaan ibu pejabat baharu MOM itu disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
“Pastikan pembinaan bukan sekadar ikut jadual, tetapi lebih awal daripada jadual,” katanya.-BH Online