Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KAJANG, 6 Ogos – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan komitmen untuk melaksanakan dasar pusingan kerja (‘job rotation’) dalam kalangan pegawai agensi di bawahnya sebagai langkah memperkukuh integriti dan mencegah rasuah dalam perkhidmatan awam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu sejajar dengan saranan Perdana Menteri dalam ucapan belanjawan lalu, yang turut disokong oleh Ketua Setiausaha Negara.

“Pusingan kerja ini bukan perkara baharu dan bukan hanya kerana ia disebut oleh Perdana Menteri atau disambut oleh Ketua Setiausaha Negara.

“Ia sudah menjadi amalan biasa dalam perkhidmatan awam, malah turut diamalkan dalam sektor swasta,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan i-Deen Kepulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2025 di Ibu Pejabat AADK di sini.

Menurut beliau, KDN yang menaungi 10 agensi termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), AADK, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan lain-lain, terbuka melaksanakan pendekatan tersebut secara berterusan.

“Sebagai contoh, pegawai dari AADK boleh dipindahkan ke imigresen (JIM) atau pegawai dari imigresen ke AADK. Ini perkara biasa dan merupakan proses yang sedang berjalan (‘on-going process’),” katanya.

Tempoh pusingan kerja itu juga bersifat fleksibel, bergantung kepada keperluan semasa dan penilaian prestasi, kata beliau.

“Ada yang berputar setiap dua tahun, ada yang empat tahun, mungkin lima tahun. Ia bergantung kepada keputusan pengurusan dan penilaian terhadap keperluan agensi,” jelasnya.

Langkah itu, tambah beliau, mampu mengelak wujudnya kepentingan peribadi atau salah guna kuasa apabila seseorang pegawai kekal terlalu lama di satu posisi.-BH Online