Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai telah diisytiharkan kosong oleh Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Kekosongan kerusi tersebut susulan kematian penyandang, Datuk Seri Johari Harun yang meninggal dunia dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos.
Sharkar berkata notis pemakluman rasni telahpun diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK).
“PRK terpaksa diadakan, jadi sebagai Speaker dan timbalan saya (Timbalan Yang Dipertua DUN, Lee Chin Chen) kita telah menyerahkan surat bagi memaklumkan kepada SPR tentang notis kekosongan DUN Pelangai.
“Penyerahan notis ini untuk tindakan selanjutnya oleh pihak SPR,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di Wisma Sri Pahang pada Isnin.”
Notis pemakluman telah diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli.