SIMUNJAN: Projek pembinaan gantian fasiliti kemudahan pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sadong di sini yang membabitkan kos RM28.73 juta, berjaya disiapkan tahun ini di bawah seliaan Pasukan Projek Khas 2 (PKK2) Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek bermula 17 Mac 2022 itu satu daripada inisiatif Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ekosistem pembelajaran negara terutamanya di kawasan luar bandar.
“Projek ini dilaksanakan secara perundingan konvensional oleh kontraktor Welfield Services Sdn Bhd dan membabitkan pelbagai komponen pembinaan termasuk satu blok akademik merangkumi 12 bilik darjah, bengkel elektrik dan elektronik, bengkel pembuatan serta makmal komputer, sains, kimia, biologi dan fizik,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Turut dibina bilik Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), satu blok kantin, lima unit rumah guru kelas F serta pelbagai kemudahan sokongan lain bagi melengkapkan prasarana sekolah berkenaan.
Nanta hadir bagi menyaksikan penyerahan rasmi projek tersebut kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu majlis diadakan di sekolah berkenaan hari ini.
Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan projek ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk menyediakan infrastruktur pendidikan yang moden, berkualiti dan kondusif bagi menyokong kecemerlangan pelajar serta menyeimbangkan kualiti pendidikan antara bandar dan luar bandar.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada KPM atas kepercayaan serta kerjasama diberikan kepada Kementerian Kerja Raya dan JKR, khususnya dalam aspek penyeliaan tapak hingga projek ini dapat disiapkan dengan jayanya,” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta JKR terus memantau serta bekerjasama rapat dengan pihak kontraktor dalam menyelesaikan sebarang aduan kecacatan sepanjang tempoh tanggungan liabiliti kecacatan (DLP) mengikut peraturan ditetapkan.-BH Online