KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) belum bercadang menaikkan nilai ambang pendaftaran perkhidmatan bercukai bagi sektor pembinaan daripada RM1.5 juta kepada RM3 juta.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kementerian juga setakat ini belum mengemukakan apa-apa permohonan bagi tujuan berkenaan.
“Setakat ini tidak ada cadangan untuk meningkatkan nilai ambang (pendaftaran perkhidmatan bercukai bagi sektor pembinaan) kepada RM3 juta dan tak nampak ia akan berlaku… bererti nilai ambang RM1.5 juta akan kekal dan tiada rancangan untuk dinaikkan kepada RM3 juta.
“Ini (prosedur menaikkan nilai ambang) adalah bidang tugas Kementerian Kewangan, mereka tentu mengetahui dan memahami keperluan untuk menaikkan nilai ambang.
“Bagaimanapun, setakat ini KKR tidak minta (untuk) menaikkan nilai ambang seperti diminta Yang Berhormat,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai pertimbangan menaikkan nilai ambang pendaftaran perkhidmatan bercukai, terutama bagi sektor pembinaan, sewaan dan pajakan.
Dalam pada itu, Ahmad menegaskan mana-mana kontraktor yang kerap dikenakan denda susulan kerja pembinaan menerima had lanjutan masa (EOT), berisiko tidak dianugerahkan apa-apa projek baharu daripada kerajaan.
“(Mengenai) projek lewat, kita memang tak suka EOT, (sebaliknya) kita suka AOT iaitu mendahului jadual pelaksanaan.
“Mana-mana syarikat yang menerima dua atau tiga EOT, mereka akan dikenakan denda (LAD) mengikut bilangan hari diputuskan dengan jumlahnya boleh mencecah puluhan ribu ringgit sehari.
“Ia (LAD) menjadi halangan kepada mereka, jika sering dikenakan denda, selain kalau kerap dikenakan denda, masa hadapan mereka tak akan diberikan projek lagi,” kata Ahli Parlimen Pontian itu.
Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, beberapa bantuan diberi untuk membantu kontraktor sektor pembinaan, termasuk penetapan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lebih rendah kepada golongan itu.
“Cukai profesional seperti ke atas jurutera dan arkitek adalah lapan peratus, tetapi untuk kontraktor pembinaan pula enam peratus. Ini adalah antara kaedah bantuan, manakala kontraktor kecil G1, G2, G3 dan G4 yang tidak melepasi nilai ambang RM1.5 juta pula tidak dikenakan cukai.
“Kita juga sentiasa mengadakan dialog berterusan dengan industri serta memberi penekanan ke atas produktiviti dan inovasi, selain memberi pengecualian bagi projek tertentu seperti perumahan rakyat.
“Ini dikecualikan daripada SST untuk sektor pembinaan, selain mungkin insentif yang boleh dirunding dengan kerajaan,” katanya menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis).-BH Online