Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Peningkatan nilai kumulatif perdagangan tertinggi dalam sejarah sebanyak 4.8 peratus kepada RM1.465 trilion pada separuh pertama 2025 mencerminkan kekuatan dan ketahanan kedudukan perdagangan luar Malaysia. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata eksport Malaysia dalam tempoh itu meningkat 3.8 peratus kepada RM760.2 bilion.

Lebih menarik, katanya lebihan dagangan Malaysia melonjak kepada RM8.59 bilion pada Jun 2025, berbanding RM759.9 juta yang direkodkan pada Mei 2025, menandakan bulan ke-62 berturut-turut di mana lebihan dagangan dicatatkan sejak Mei 2020

“Faktor utama yang memacu eksport kita pada Jun termasuklah eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, yang mencatatkan pertumbuhan dua angka untuk 15 bulan berturut-turut.

“Ini turut disokong oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, serta barangan elektrik dan elektronik (E&E). Pertumbuhan E&E ini sejajar dengan unjuran World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) bagi peningkatan jualan semikonduktor global sebanyak 11.2 peratus pada tahun 2025,” katanya dalam satu hantaran di media sosial rasmi beliau, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia turut melihat peningkatan eksport yang memberangsangkan ke pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), Taiwan, dan Mexico.

Beliau berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sentiasa komited untuk membina ekosistem perdagangan yang lebih kukuh dengan mempelbagaikan pasaran eksport dan memperkukuh hubungan perdagangan melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). 

“Ayuh kita kembangkan jangkauan global Malaysia,” katanya.

Dalam segi prestasi bulanan, MITI dalam satu laporan pada Jumaat lalu bagaimanapun memaklumkan perdagangan pada Jun mencatat penurunan kecil 1.2 peratus kepada RM234.85 bilion berbanding Jun 2024.

Ia berkata, bagi tempoh bulan dikaji, eksport menyusut 3.5 peratus kepada RM121.72 bilion, manakala import meningkat 1.2 peratus kepada RM113.13 bilion.

Katanya, lebihan dagangan kembali meningkat pada Jun 2025 kepada RM8.59 bilion, berbanding RM759.9 juta yang direkodkan pada Mei 2025.-BH Online