KUALA LUMPUR: Sebarang lawatan orang kenamaan dan ahli politik bagi pemberian sumbangan di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan perlu mengikut dua garis panduan ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ia tertakluk kepada pematuhan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) KPM dan Garis Panduan Undangan atau Lawatan Orang Kenamaan dan Ahli Politik ke Institusi Pendidikan di bawah kementerian.
“Ia adalah bagi memastikan interaksi yang profesional di institusi pendidikan selain menjamin keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan warga sekolah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang mahu tahu mengenai prosedur sesebuah organisasi atau wakil rakyat yang ingin memberi sumbangan di sekolah.
Ini kerana Ikmal Hisham mendakwa, Ahli Parlimen pembangkang berdepan pelbagai masalah untuk memberikan sumbangan terbabit, malah ada yang tidak dibenarkan.
Pada masa sama, Fadhlina berkata, berhubung aspek sumbangan, ia membabitkan dua peringkat dengan melalui proses tadbir urus yang telus, berakauntabiliti dan berintegriti.
Beliau berkata, semua bentuk sumbangan atau pendanaan awam hendaklah disalurkan mengikut ketetapan digariskan melalui SPI KPM bilangan 3, tahun 2018.
Katanya, ia juga perlu melalui panduan penyaluran dan penerimaan sumbangan daripada sektor swasta dan bukan swasta kepada sekolah kerajaan serta sekolah bantuan kerajaan.-BH Online