Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan nama Ketua Hakim Negara yang diumumkan baru-baru ini sudah dikemukakan dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong lebih awal, bukan ditukar pada saat akhir seperti didakwa segelintir pihak.

Menyifatkan dakwaan kononnya berlaku pertukaran calon pada saat akhir sebagai tohmahan tidak berasas yang sengaja dipolitikkan, Perdana Menteri berkata, tindakan terbabit sengaja mahu mencetuskan kekeliruan dan kegelisahan rakyat terhadap sistem kehakiman.

“Sistem (kehakiman) itu dikatakan sudah dirosakkan, ada yang sengaja mahu mempolitikkan isu (ini). 

“Seminggu kita (kerajaan) dihentam kononnya Perdana Menteri tidak menjawab. Mana mungkin saya boleh jawab ketika itu kerana proses (pelantikan hakim) masih berjalan.

“Cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara perlu melalui peruntukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan saranan daripada Perdana Menteri untuk diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, selepas dirunding bersama Majlis Raja-Raja,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.-BH Online