Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Puad Zarkashi berhujah bahawa mantan naib presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob keliru antara idealisme perjuangan dan kaedah perjuangan.
“Ismail Sabri silap. Dia gagal membezakan antara idealisme dengan kaedah atau cara berjuang (uslub).
“UMNO tidak pernah mengubah idealisme perjuangan. Ia kekal dengan perjuangan Islam dan Melayu. Bahkan UMNO meminda Perlembagaan parti di mana Islam diletakkan paling atas.
“Apa yang berubah ialah cara atau kaedah perjuangan (uslub). Uslub boleh berubah mengikut keperluan semasa. UMNO tidak mengubah dasar,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Puad turut menjelaskan kerjasama UMNO dengan PH, menandakan perubahan dalam kaedah perjuangan.
“Apa yang berubah ialah cara atau kaedah perjuangan (uslub). Uslub boleh berubah mengikut keperluan semasa. UMNO tidak mengubah dasar.
“Menyertai Kerajaan Perpaduan yang turut disertai DAP tidak ada kena mengena dengan idealisme. Ia adalah uslub perjuangan. Masa berubah, maka cara berpolitik juga berubah.
Semalam Ismail yang juga mantan perdana menteri mendakwa kekalahan partinya dalam pilihan raya negeri di enam negeri adalah kerana pimpinan memilih gabungan bersama DAP berbanding dengan Muafakat Nasional.
Muafakat Nasional ialah gabungan tidak rasmi di antara UMNO dan PAS seusai PRU dalam tahun 2018.
Beliau turut menyatakan bahawa UMNO perlu mengelakkan nasib yang menimpa MCA dan Gerakan.
Beliau turut menggesa partinya kembali kepada idealisme perjuangan asal kerana UMNO di bawah presiden Datuk Seri Ahmad Zahif lari dari idealisme tersebut lantas menyebabkan UMNO hilang sokongan.
Beliau berhujah demikian di dalam artikel bertajuk “Apa makna PRN ini kepada UMNO?” di dalam ruangannya Jalan Fikir di dalam Utusan Malaysia.