Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam Facebook Badan Kehakiman Malaysia, tengah malam ini, Seri Paduka membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, baginda juga memperkenankan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Seterusnya, Datuk Azizah Nawawi pula sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak bagi menggantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak yang bakal bersara.

“Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat serta menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Wan Ahmad Farid menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu selepas memegang jawatan Ketua Hakim Negara selama enam tahun.

Susulan persaraan Tengku Maimun, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, telah diumum menjalankan kuasa dan tugas Ketua Hakim Negara hingga jawatan itu diisi.

Sementara itu, Abu Bakar pula menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib pada 3 Julai lalu. Beliau satu-satunya Hakim yang menyokong Fatwa Selangor dalam kes Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) pada 19 Jun lalu.

Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan SISdalam pertikaian berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, yang dikeluarkan dan diwartakan 11 tahun lalu. 

Susulan persaraan Abang Iskandar, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, dilantik untuk menjalankan kuasa dan tugas Presiden Mahkamah Rayuan hingga jawatan itu diisi.

Kalangan pengamal undang-udang kata Wan Ahmad Farid Hakim yang adil

Wan Ahmad Farid, 62, pernah berkhidmat sebagai bekas timbalan menteri sebelum menjadi hakim. 

Ramai dalam kalangan pengamal undang-undang menyifatkan Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai hakim yang adil.

Semalam Portal The Straits Times, Singapura memetik ahli parlimen kerajaan yang tidak dinamakan sebagai berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membangkitkan nama Wan Ahmad Farid semasa mesyuarat beberapa hari kebelakangan ini. 

Wan Ahmad Farid adalah hakim Mahkamah Tinggi dari 2019 hingga 2024, selepas dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2015. 

Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri dalam negeri dari Mac 2008 hingga April 2009, dan menjadi timbalan ketua bahagian UMNO Kuala Terengganu pada 2001. 

Keputusan curi tumpuan

Sebagai bekas hakim Mahkamah Tinggi, Wan Ahmad Farid telah membuat beberapa keputusan yang mencuri tumpuan. Ini termasuk dia menarik diri daripada mempengerusikan permohonan untuk membenarkan Queen’s Counsel (QC) dari United Kingdom bertindak bagi bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dalam rayuan kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta. 

Dia membuat keputusan itu selepas menyebut salah seorang ahli keluarganya adalah ahli parti Najib. 

Pada 11 Mei 2023, beliau juga memutuskan bahawa anak-anak Loh Siew Hong telah memeluk Islam secara sah mengikut undang-undang negeri Islam Perlis, dengan afidavit pihak berkuasa Islam negeri mengesahkan bahawa kanak-kanak itu mengucap kalimah syahadah pada 2020. 

Pada November tahun lalu, Wan Ahmad Farid mengarahkan polis menyelesaikan siasatan kematian Teoh Beng Hock dalam tempoh enam bulan, memutuskan bahawa terdapat kelewatan yang melampau dalam siasatan. 

Ini berlaku selepas beliau membenarkan semakan kehakiman keluarga Beng Hock berhubung insiden 2009. 

Abu Bakar dikenali dengan ketajaman kefahaman undang-undang

Abu Bakar, 60, dari Muar, Johor dikenali ramai kerana ketajaman undang-undangnya dan keteguhan beliau di bangku kehakiman dalam beberapa kes berprofil tinggi. 

Kerjaya kehakiman beliau bermula apabila dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 7 Julai 2013, sebelum disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 21 Mac 2016. Beliau kemudian dinaikkan ke Mahkamah Rayuan pada 5 Disember 2019. 

Abu Bakar mengangkat sumpah jawatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Jun 2023 di hadapan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Kehakiman.

Antara kes besar yang pernah beliau kendalikan ialah permohonan semakan dalam kes SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Razak. Beliau adalah sebahagian daripada panel lima hakim yang mendengar kes itu pada 23 Ogos 2022. 

Beliau juga mengetuai panel tiga hakim dalam rayuan kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Pada Mei tahun ini, Abu Bakar menulis penghakiman majoriti dalam keputusan penting yang memutuskan bahawa Mahkamah Syariah tidak lebih rendah daripada Mahkamah Sivil, sebaliknya diiktiraf dalam Perlembagaan dan keputusannya mengikat dari segi undang-undang.

Di luar mahkamah, beliau turut menyumbang kepada perkembangan ilmu perundangan apabila menjadi penulis bersama buku pertama Malaysia mengenai pentafsiran statut yang dilancarkan pada Mei 2023.

Azizah pernah tarik diri daripada rayuan Najib terhadap Tommy Thomas

Azizah yang kini berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, dinaikkan ke mahkamah tersebut pada 8 Ogos 2019. Sebelum itu beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 12 September 2014. 

Pada Oktober 2023, beliau menarik diri daripada mendengar rayuan Najib untuk menghidupkan semula saman terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas demi menjaga prinsip ketelusan kehakiman, memandangkan suaminya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, pernah berkhidmat di Jabatan Peguam Negara semasa tempoh perkhidmatan Thomas. 

Beliau turut menganggotai panel tiga hakim pada Ogos 2023 yang menolak rayuan seorang wanita untuk keluar daripada agama Islam, dan menegaskan bidang kuasa perlembagaan Mahkamah Syariah di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. 

INFO

Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh

– 62 tahun (dilahirkan pada 13 November 1962)

– dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 12 November 2024

– dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2019

– dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 16 Disember 2015

– pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan pernah menjadi ahli UMNO tetapi dilapor sudah meninggalkan arena politik pada 2013

– memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009, serta menjadi senator dari 2005 hingga 2009

– bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 2009 tetapi kalah

Datuk Abu Bakar Jais

– dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Jun 2023

– dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 5 Disember 2019

– dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 21 Mac 2016

– dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 8 Julai 2013

Datuk Azizah Nawawi

– dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Ogos 2019

– dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 12 September 2014

– dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 November 2012 – BH Online