PUTRAJAYA: Akta Kebebasan Maklumat bagi memperkukuh ketelusan dan memberi akses sebenar kepada rakyat dijangka dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, usaha reformasi terbabit mencerminkan pendekatan menyeluruh dan tekad kami untuk membina institusi yang kukuh, adil dan telus demi berkhidmat kepada seluruh rakyat Malaysia dengan penuh integriti.
“Ini adalah langkah penting dalam membina kepercayaan awam dan menggalakkan penyertaan rakyat yang bermaklumat dalam sistem demokrasi kita.
“Undang-undang ini akan dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini supaya rakyat dapat menilai dan memegang kami lebih ‘accountable’ (lebih bertanggungjawab),” katanya ketika berucap pada majlis penutup Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti 2025 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan juga dalam usaha meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 atau Akta 711 yang dijangka dibentang hujung tahun ini.
Beliau berkata, ia bertujuan menyediakan perlindungan yang lebih menyeluruh.
“Ini termasuk memansuhkan pengecualian terdahulu yang mengehadkan perlindungan serta menubuhkan sebuah Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat yang bebas bagi memastikan pelaksanaan lebih berkesan,” katanya.-BH Online
