Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menyatakan bahawa usaha meningkatkan denda dari RM1,000 kepada RM10,000 ke atas ahli Dewan Rakyat sedang diusahakan menerusi pindaan ke atas Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
Pindaan tersebut juga akan membolehkan ahli dewan digantung tugas.
“Kami bertindak supaya akta ini dilaksanakan, dan memastikan setiap ahli parlimen menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya dalam ucapan perasmian majlis Syarahan Parlimen Siri 3.0: Membina Semula Negara Melalui Pembaharuan di Kuala Lumpur malam tadi.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said pula menyatakan usaha memisahkan kuasa pendakwaraya dan Peguam Negara sedang dibuat.
Satu kajian empirikal selama setahun akan dijalankan sebelum memisahkan kuasa tersebut.
Menurut beliau lagi sebanyak 19 undang-undang perlu dipinda.
Beliau turut menyatakan bahawa rang undang-undang kekebalan negara sedang digubal.
Dua akta lain yang akan ditambahbaik ialah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur.