Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri-menteri Luar ASEAN mendesak semua pihak di Myanmar, khususnya Majlis Pentadbiran Negara (SAC), supaya menghentikan permusuhan dan keganasan serta mematuhi gencatan senjata bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan ke negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata gesaan itu adalah selaras dengan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang berlangsung pada Mei lalu.

Beliau berkata, ASEAN juga terus menyatakan sokongan penuh kepada usaha Duta Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar, Tan Sri Othman Hashim, dalam memudah cara penyelesaian damai krisis terbabit.

“Malaysia juga menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang masih kurang memuaskan pada peringkat lapangan.

“Kami menggesa semua pihak berkepentingan supaya mengambil tindakan konkrit, khususnya berkaitan tiga perkara utama, iaitu pemberhentian permusuhan, dialog inklusif membabitkan semua pihak dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar,” katanya pada sidang media Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, Malaysia secara konsisten mendesak SAC selaku pihak berkuasa de-facto di Myanmar supaya menunjukkan kepimpinan dan keikhlasan dalam menjayakan komitmen ke arah keamanan, termasuk mewujudkan suasana kondusif untuk dialog politik yang inklusif.

Mengulas mengenai pilihan raya yang dirancang di Myanmar pula, Mohamad menegaskan pendirian Malaysia kekal jelas bahawa keamanan perlu diutamakan terlebih dahulu.

“Pilihan raya mestilah inklusif, bebas, adil dan telus. Saya menekankan kepada delegasi Myanmar ketika Retreat AMM bahawa tidak perlu mengadakan pilihan raya sekiranya ia tidak inklusif.

“Keamanan dan pemberhentian permusuhan mesti menjadi keutamaan sebelum sebarang pilihan raya diadakan.

“Sekiranya pilihan raya berlangsung tanpa dialog inklusif dan persetujuan politik bersama semua pihak berkepentingan, ia hanya akan memburukkan lagi konflik serta tidak akan diiktiraf sebagai sah,” katanya.-BH Online