Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Lesen pemandu kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam yang terbabit kemalangan akan digantung serta-merta sementara siasatan dijalankan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan tegas secara drastik itu antara langkah penambahbaikan diambil pihaknya bagi memastikan pemandu terbabit mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.

“Mana-mana pemegang lesen memandu vokasional (PSV) atau lesen kenderaan barangan (GDL) yang terbabit kemalangan dan sedang disiasat pihak polis akan digantung lesen mereka. 

“Seterusnya jika pemandu itu didapati bersalah atau dikenakan notis mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), lesen mereka boleh dibatalkan JPJ mengikut peruntukan Seksyen 56 (4)(b).

“Kita sudah pun melaksanakan tindakan itu terhadap lima pemandu, antaranya pemandu lori yang terbabit kemalangan dengan kenderaan FRU baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program Mylesen B2 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

Aedy Fadly berkata, pemandu kenderaan perdagangan yang didapati bersalah pula akan dikenakan tindakan gantung lesen dan wajib mengikuti latihan semula untuk mengaktifkan semula lesen atau untuk dikeluarkan dari senarai gantung.

“Program latihan semula ini akan dianjurkan JPJ di lokasi yang akan ditetapkan kelak, namunsemua pemandu akan turut dikenakan fi bagi menampung kos program latihan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, pengisian program latihan semula akan merangkumi pengajaran semula pengetahuan berkaitan kompetensi pemanduan termasuk peraturan jalan raya, aspek pemanduan selamat, perubahan minda dan pengendalian kenderaan secara selamat.

JPJ juga, katanya sedang meneliti lanjut mengenai program itu termasuk tempoh masa yang wajib dilengkapkan calon dengan perincian terbabit akan dimaklumkan dalam masa terdekat menerusi laman web rasmi JPJ.

“Kedua-dua tindakan penambahbaikan ini berpandukan kepada peruntukan Akta 333 dalam mengawal selia, menguatkuasa peraturan serta memastikan kompetensi pemandu terutamanya kenderaan perdagangan berada pada tahap baik,” katanya. 

Beliau berharap melalui penguatkuasaan itu pemandu kenderaan perdagangan termasuk bas sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan memandu dengan berhemah serta mementingkan keselamatan penumpang.-BH Online