China dan Russia bersetuju untuk menandatangani perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), manakala Amerika Syarikat (AS) sedang meneliti untuk menandatangani perjanjian itu, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, penglibatan kuasa besar dalam perjanjian berkenaan akan terus menjamin Asia Tenggara kekal sebagai sebuah rantau yang aman dan bebas senjata nuklear.
“Kita sudah bangunkan supaya Asia Tenggara menjadi sebuah rantau yang aman dan minggu depan menteri-menteri luar (negara berkaitan) akan bermesyuarat,” katanya ketika majlis ramah mesra Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakyat Malaysia di Itali yang berlangsung di Rom semalam.
Video rakaman majlis berlangsung sempena lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri ke Itali itu dikongsi dengan BERNAMA pada Rabu.
Perjanjian SEANWFZ yang juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok ditandatangani pada Disember 1995 di Bangkok oleh 10 negara anggota ASEAN dan mula berkuat kuasa pada Mac 1997.
Di bawah protokol itu, setiap Negara Senjata Nuklear (NWS) perlu menghormati Perjanjian SEANWFZ dan tidak menyumbang kepada apa-apa perilaku yang merupakan pelanggaran kepada Perjanjian dan protokolnya, tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear terhadap mana-mana pihak, serta tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear dalam zon berkenaan.
Malaysia akan menganjurkan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) antara 8 hingga 11 Julai ini.
Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Januari lalu daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.-BH Online