Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mendakwa ada usaha untuk menggulingkan kerajaan perpaduan pimpinannya.
Beliau mendakwa sekurang-kurangnya empat ADUN sedang dipujuk untuk berpaling tadah kepada Perikatan Nasional.
“Nampaknya mereka tak berpuas hati dengan keputusan PRN (pilihan raya negeri) sebab mereka mengharapkan jika PN merampas enam negeri bermakna dia nak gambarkan satu gelombang baru penolakan rakyat terhadap kerajaan perpaduan.
“Tetapi itu tidak berlaku,” kata Saarani kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan ADUN kerajaan perpaduan Perak di Ipoh.
Perjumpaan dengan ADUN blok kerajaan untuk mengelakkan timbulnya rasa saling mengesyaki.
Seusai PRU15 pada November tahun lalu, BN dan PH membentuk kerajaan dengan majoriti 33 kerusi.
DUN Perak mengandungi 59 kerusi dan majoriti mudah akan diperoleh dengan 30 kerusi.
PN mempunyai 26 kerusi.
Enakmen anti-lompat parti telah pun dikuatkuasakan di Perak.
Dalam pada itu Saarani berkata semua ADUN kerajaan telah memberikan komitmen untuk mempertahankan kerajaan.
Beliau juga memberikan ingatan bahawa tindakan bermain polemik politik sebegini tidak bermanfaat.
“Perlu ditegaskan, tindakan menimbulkan persepsi jahat termasuk memomokkan fitnah kononnya Islam dan orang Melayu di negeri ini di ambang kemusnahan wajar dihentikan kerana realitinya, kepimpinan kerajaan secara kolektif komited mempertahankan keluhuran perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan,” katanya.