Gabungan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) diperlukan untuk berdepan dengan ekstremisme yang dipelopori oleh blok pembangkang – Perikatan Nasional, kata pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad.
“Kalau secara umum orang tanya kenapa gabungan ini perlu? (Ia) kerana nak hadapi ancaman ekstremisme.
“Sikap pelampau yang dibawa Perikatan Nasional (PN) dan demi nak jaga kepentingan negara. Sebab itulah Kerajaan Perpaduan dibentuk.”
Beliau berkata begitu dalam forum PRN 6 Negeri: Implikasinya terbitan Jom Channel.
Dalam pada itu beliau mengakui bahawa proses penerangan kepada ahli PH dan BN hanya sampai peringkat pertengahan.
“Dalam tempoh tujuh bulan, sambil proses penerangan itu sedang berjalan yang mungkin baru sampai ke peringkat pertengahan…kita terpaksa hadapi PRN. (Proses penerangan) tak sampai ke peringkat akar umbi.
“Sebenarnya kemenangan itu bergantung kepada transferability atau kemampuan untuk mendapatkan undi Umno-BN untuk calon PH, dan dapatkan undi PH untuk calon BN.
“Tapi benda ini terlalu baru dan ramai yang mempertikaikannya. Ada penyokong PH protes, maka mereka tak keluar mengundi. Itu yang kita nampak. Bukan setakat undi Melayu, tapi undi Cina dan India pun menurun.
“Kita nampak undi Melayu yang kita harapkan dari BN pun tak datang kepada PH, undi dari PH tak pergi kepada BN kerana proses penerangan itu dan pemantapan gabungan ini tak sempat kita lakukan.”
Beliau turut memberi kredit kepada kerjasama dengan BN di atas kemenangan Amanah di Kota Lama, Kelantan dan Batu Tiga, Shah Alam.
“Kalau tak ada sokongan dari orang-orang Umno, kita tak boleh menang. Maka bererti gabungan ini memang ada potensi untuk menang.”