TAWAU: Kementerian Pertahanan komited memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi menerusi perolehan aset strategik dan teknologi pertahanan terkini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, baru-baru ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata perolehan aset dan sistem pertahanan baharu dilakukan secara berterusan melalui prosedur ketat serta menepati keperluan ketiga-tiga cabang ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Setakat ini kita memang sudah membeli 18 pesawat F-50 termasuk dari Korea, tiga kapal Littoral Mission Ship (LMS) dan meneruskan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS), selain pembelian radar untuk memperkukuh pertahanan negara.
“Kita juga dalam proses membina pangkalan hadapan baharu bagi menggantikan Pangkalan Tun Sharifah Rodziah yang sedia ada dengan pangkalan bergerak yang lebih moden dan efisien yang lebih sesuai dengan keperluan operasi semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Karnival CIMIC Tawau 2025 di Kompleks Sukan Tawau, hari ini.
null
Karnival itu dianjurkan bersama Kementerian Pertahanan dan ATM dengan tema ‘CIMIC Diperkasa, Kedaulatan Negara Terpelihara’.
Mohamed Khaled berkata, perolehan radar pesisir pantai di Sabah turut dirancang dalam usaha memperkukuh kawalan maritim dan keselamatan perairan negeri terbabit.
“Kita baru selesai Kajian Separuh Penggal Rancangan Kertas Putih Pertahanan dan ia sudah dibentang serta dipersetujui Kabinet. null
“Bagaimanapun ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi antaranya kita melakukan ukuran dalam pelaksanaan perancangan-perancangan ini, mana yang kurang untuk diatasi,” katanya.
Dalam pada itu katanya, konflik antarabangsa yang berlaku seperti di Ukraine, Gaza, ketegangan antara Iran-Israel dan India-Pakistan menjadi petunjuk jelas bahawa keperluan memiliki aset berteknologi tinggi bukan lagi pilihan, tetapi keperluan mutlak.
“Isu ketidaktentuan di Laut China Selatan memerlukan kita lebih serius dari segi kesiapsiagaan dan kekuatan ketenteraan.
“Pada masa sama komitmen terhadap keselamatan Sabah juga tidak pernah dipandang ringan kerana kita mahu wujud keseimbangan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Selain itu beliau turut mengingatkan warga ATM supaya lebih berwaspada dan tidak memuat naik kandungan tidak wajar di media sosial yang boleh mendedahkan lokasi aset strategik negara.
“Kadangkala ada anggota memuat naik gambar latihan atau peralatan ketenteraan termasuk lokasi penyimpanan senjata.
“Perkara ini sangat berbahaya kerana boleh memberi maklumat kepada pihak yang berniat jahat terhadap negara.
“Bagaimanapun, saya percaya Panglima-panglima Perkhidmatan akan mengeluarkan arahan segera agar semua anggota lebih berhati-hati dalam aspek ini,” katanya.-BH Online