Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MOSCOW: Malaysia dan Russia akan meningkatkan kerjasama ekonomi, terutama dalam sektor berpotensi besar untuk diteroka meliputi industri halal, pertanian serta keterjaminan makanan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, jumlah dagangan kedua-dua negara pada 2024 masih kecil berbanding saiz ekonomi Russia yang besar.

Pada 2024, Russia ialah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (AS$2.48 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Russia termasuk produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, serta makanan yang diproses.

“Saya juga telah menjemput syarikat-syarikat Russia untuk melabur di Malaysia dan mengambil peluang insentif ditawarkan Kerajaan Malaysia dalam sektor strategik seperti industri angkasa lepas, teknologi pertanian, tenaga, teknologi maklumat dan komunikasi, ekonomi digital, kewangan Islam serta industri halal,” katanya pada sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja selamat empat hari ke Russia, malam tadi.

Fadillah turut memberi penekanan kepada kerjasama pertanian dan keterjaminan makanan serta industri halal, di samping membangkitkan cadangan agar Malaysia dan Russia bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan berkaitan teknologi baja serta racun serangga, kejuruteraan agro dan teknologi makanan.

“Selain itu, saya menyentuh mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, dan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Russia atas biasiswa diberikan kepada pelajar Malaysia.

“Saya telah mencadangkan agar biasiswa berkenaan turut ditawarkan bagi sektor utama baru muncul seperti kecerdasan buatan (AI), data raya dan sains maklumat selari dengan transformasi industri kini,” katanya.

Beliau tidak ketinggalan menekankan aspek kerjasama pelancongan, dengan Malaysia mengalu-alukan cadangan penerbangan terus Malaysia-Russia yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, Russia membangkitkan isu transaksi kewangan yang sedikit sebanyak merencatkan perkembangan perdagangan dua hala Malaysia-Russia.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Malaysia melalui agensi yang bertanggungjawab termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), akan terus memudah cara bagi memastikan kelancaran transaksi kewangan antara kedua-dua negara.

“Sudah tentu saya akan membawa setiap intipati perbincangan saya dengan pihak Russia kepada perhatian Jemaah Menteri sebaik saja kepulangan saya ke tanah air.

“Insya-Allah, saya yakin kerjasama Malaysia dengan Russia akan terus berkembang dengan positif dan memberi manfaat kepada negara kita,” katanya.-BH Online