PUTRAJAYA: Malaysia bersedia menawarkan kepakarannya dalam sektor perbankan Islam dan industri halal kepada Kyrgyz bagi membantu membangunkan kemudahan serta perkhidmatan yang lebih menyeluruh, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada sidang media bersama Presiden Kyrgyz, Sadyr Zhaparov, Perdana Menteri berkata, perbincangan mereka turut menjurus kepada penubuhan bank Islam bagi mewujudkan sistem kewangan yang lebih baik.
“Sudah tentu kita bincangkan soal perbankan Islam, halal, pembinaan, kewangan dan program termasuk cadangan penubuhan bank Islam.
“Akan ada mesyuarat susulan antara menteri-menteri kita. Anda (Zhaparov) membawa menteri utama ke Malaysia dan rakan menteri saya akan memberi maklum balas,” katanya pada sidang media di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.
Anwar berkata, kerjasama strategik itu penting bukan sahaja bagi memperkukuh persefahaman dan persahabatan, malah memastikan program dan projek dua hala dalam bidang perdagangan serta pelaburan dapat diteruskan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Kyrgyz turut bersetuju untuk meneroka Pelan Tindakan Kerjasama Halal yang dicadangkan oleh Zhaparov.
“Perkara ini akan diteroka dengan lebih mendalam dan sudah tentu anda (Kyrgyz) mempunyai keupayaan besar dalam tenaga hidro, tenaga hijau serta tenaga boleh diperbaharui yang sangat menarik minat Malaysia untuk difahami, dikaji dan dimanfaatkan,” katanya.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa Malaysia dan Kyrgyz bersetuju untuk mempertingkat kerjasama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan dengan penekanan kepada usaha memperkukuh hubungan antara rakyat serta memperluas potensi sosial dan ekonomi kedua-dua negara.
Sehubungan itu, Anwar berkata Malaysia akan menyalurkan bantuan teknikal dan pendidikan kepada rakyat Kyrgyz melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
“Institusi kami sudah tentu bersedia untuk membantu mengenal pasti individu yang boleh dilatih dan kami amat menghargai sekiranya dapat melaksanakan program pertukaran bersama anda,” katanya.-BH Online