SHAH ALAM: Kerajaan menyasarkan untuk melepaskan kira-kira 200,000 individu daripada masalah bankrap hujung tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai memandangkan maklumat diperoleh dari Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan 186,000 sudah dilepaskan setakat ini.
“Seperti saya maklumkan (dalam ucapan), lelaki lebih ramai bankrap berbanding perempuan. Setakat ini, sejumlah 186,000 individu bankrap dilepaskan.
“Kita harap, hujung tahun ini jumlah itu meningkat kepada 200,000. Kita cuba lepaskan lebih cepat kerana ini arahan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bagi program Dasar Peluang Kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Program Perdana Literasi Kewangan peringkat IPTA/IPTS di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam hari ini.
Yang turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib dan Timbalan Ketua Pengarah Insolvensi, Azwarnida Affandi.
Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 memaklumkan Dasar Peluang Kedua akan diperluaskan kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000.
Dalam perkembangan berkaitan, statistik kes kebangkrapan antara 2021 hingga Mei tahun ini direkod membabitkan 25,578 individu yang berusia lingkungan 25 tahun ke atas.
Daripada jumlah itu, individu berusia 35 hingga 44 tahun adalah kumpulan tertinggi terbabit kebankrapan meliputi 10,145 individu.
Dari segi jantina pula, sejumlah 18,590 lelaki dilaporkan bankrap, manakala 6,903 adalah perempuan dengan 85 lagi dalam kategori tidak pasti.-BH Online