SUNGAI BULOH: Sebanyak 20 bilik darjah baharu akan dibina di beberapa sekolah berkepadatan tinggi dalam Parlimen Sungai Buloh bagi menyediakan suasana pembelajaran lebih selesa dan kondusif kepada pelajar.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan, berkata pelaksanaan inisiatif itu membabitkan sekolah menengah dan rendah yang mencatat jumlah pelajar melebihi kapasiti asal.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, ia membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama dengan pembinaan tiga bilik darjah baharu, SMK Bandar Baru Sungai Buloh (lima), SMK Sierramas (empat), SMK Bukit Gading (tiga), Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 6 Kota Damansara (satu) dan SK Sri Pristana (empat).
“Penambahan ini penting kerana sekolah-sekolah berkenaan berada dalam kategori berkepadatan tinggi.
“Ia bertujuan memastikan suasana pembelajaran lebih selesa dan kondusif untuk pelajar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 Sungai Buloh, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, projek penambahan bilik darjah itu akan dilaksanakan Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Dari segi pelaksanaan, JKR akan membina bilik darjah tambahan berkenaan, termasuk menggunakan konsep bilik darjah kabin bagi menampung jumlah pelajar yang ramai.
“Kos keseluruhan projek itu masih pada peringkat proses tender memandangkan ia baru saja mendapat kelulusan kerajaan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa langkah itu juga sejajar keperluan semasa, terutama di kawasan pesat membangun seperti Sungai Buloh yang menyaksikan pertambahan penduduk dan pelajar setiap tahun.
Sementara itu mengenai majlis hari ini, Ramanan berkata, Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meraikan kecemerlangan 311 lulusan SPM 2024 dari Parlimen Sungai Buloh dengan penyampaian insentif berjumlah RM143,200.
“Inisiatif berkenaan adalah salah satu usaha berterusan YBR dalam menyokong pembangunan pendidikan negara, khususnya bagi menghargai pencapaian pelajar cemerlang dan memotivasikan mereka untuk terus berjaya pada masa akan datang.
“Penerima insentif terdiri daripada pelajar yang memperoleh keputusan antara 7A hingga 11A.
“Ia adalah pengiktirafan kepada usaha gigih pelajar dan menjadi pemangkin keyakinan bahawa pendidikan adalah kunci utama kepada perubahan hidup,” katanya.
Beliau berkata, insentif berkenaan bukan sekadar penghargaan atas kejayaan akademik, malah turut menjadi dorongan untuk pelajar terus melakar kejayaan pada masa depan.
“Penghargaan diberikan kepada ibu bapa dan guru-guru yang menjadi tunjang kepada pencapaian berkenaan.
“Komitmen berterusan akan diberi untuk memperkenalkan lebih banyak inisiatif pembangunan pendidikan dan belia selaras aspirasi Kerajaan MADANI,” katanya.-BH Online