Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memberi penekanan lebih besar kepada pelaburan dalam kesihatan, terutamanya membabitkan penjagaan pencegahan, pendidikan kesihatan awam dan sistem sokongan berasaskan komuniti. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahi, berkata, negara perlu beralih daripada sistem yang merawat penyakit kepada sistem yang menggalakkan kesejahteraan sepanjang hayat untuk rakyat.

Beliau berkata, ini kerana ekonomi umur panjang global diunjurkan melebihi AS$65 trilion menjelang 2030 dan jika Malaysia ingin menjadi peneraju yang proaktif, negara mesti melabur dalam sistem kesihatan, penjagaan sosial, perumahan, alat kewangan dan industri yang menyokong masyarakat menua.

Ketika ini juga katanya, purata jangka hayat rakyat Malaysia ialah 76 tahun, tetapi hanya 67 tahun dalam keadaan sihat manakala selebihnya berada dalam keadaan kesihatan yang kurang baik.

“Ini bermakna terdapat sembilan tahun dalam keadaan kesihatan yang kurang baik, berpenyakit atau mengalami penurunan kualiti hidup. Jurang ini tidak menunjukkan peningkatan dalam dua dekad yang lalu. 

“Malah, ia telah melebar daripada 8.6 tahun pada tahun 2000. Ini bermakna umur yang lebih panjang tidak semestinya menjamin kehidupan yang lebih baik,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2025 (ISWC 2025) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar berkata, kerajaan menyedari perkara itu dan sudah melaksanakan pelbagai agenda seperti Kertas Putih Kesihatan yang berteraskan pencegahan, akses saksama dan reformasi menyeluruh sistem kesihatan.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan sebanyak 9.8 peratus kepada RM45.3 bilion untuk sektor kesihatan membuktikan Malaysia sedang membina asas untuk negara yang lebih sihat dan lebih berdaya tahan.

Satu daripada inisiatif utama katanya, adalah mandat kepada fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti untuk memaparkan harga ubat-ubatan, satu dasar yang menggalakkan persaingan sihat dan membantu mengurangkan perbelanjaan peribadi rakyat. 

Kerajaan juga, katanya, sedang melindungi kewangan isi rumah dan membolehkan rakyat Malaysia mengurus penyakit kronik serta menua dengan bermaruah dan berdikari.

“Namun begitu, untuk mencapai reformasi kesihatan yang berkekalan, tindakan kerajaan sahaja tidak mencukupi. Inisiatif Rakan KKM mencerminkan pendekatan menyeluruh negara. 

“Dengan menyatukan institusi awam dan pelabur strategik, ia bertujuan memperkukuh penyampaian penjagaan kesihatan. 

“Pembabitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain menandakan kerjasama awam-swasta yang kukuh, dengan tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur, akses dan kualiti sistem kesihatan demi mewujudkan sistem yang dapat menyokong semua rakyat,” katanya.-BH Online